Pengundi Pendang jangan lagi tergoda janji bina hospital

Pengundi Pendang jangan lagi tergoda janji bina hospital

Lebih 70 ribu pengundi dalam Parlimen Pendang, Kedah dingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan taktik pembohongan menerusi janji-janji manis Umno dan BN menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14 tidak lama lagi.

Gesaan ini dibuat oleh Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Kedah, Mohd Fauzi Ismail.

Menurut beliau, majoriti pengundi yang telah memberikan mandat kepada BN dalam PRU ke-13 lalu dengan mengharapkan janji kerajaan Umno dan BN untuk memberikan kesenangan kepada mereka ditunaikan, didapati hanya angan-angan yang tidak kesampaian.

“Seluruh penduduk dalam Parlimen Pendang bermati-matian mengharapkan Hospital Pendang (HP) menjadi kenyataan kerana mereka tidak mahu lagi berhadapan dengan kesukaran terpaksa mengambil masa yang begitu lama untuk jarak hampir 30 kilometer bagi mendapatkan rawatan pakar dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

Mohd Fauzi Ismail

“Jika ada yang kritikal dan kecemasan, apa akan terjadi dengan jarak yang begitu jauh untuk mendapatkan rawatan pakar, sedangkan pesakit memerlukan rawatan segera?

“Kos untuk mendapatkan rawatan sudah pasti meningkat, apa lagi sekiranya menggunakan teksi ataupun kereta sewa untuk ke HSB di Alor Setar,” jelasnya kepada Malaysia Dateline.

Penduduk Pendang sehingga kini terpaksa mendapatkan rawatan pakar daripada Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar yang jaraknya kira-kira 30 kilometer.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pemuda Pakatan Harapan Negeri Kedah turut berkata, kos asal pembinaan projek HP telah pun diumumkan oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-10 (RMK -10) iaitu sebanyak RM200 juta dengan kapasiti 120 buah katil.

Kemudian katanya, kos akhir meningkat kepada RM222.27 juta dengan kapasiti 126 buah katil seperti yang diumumkan oleh Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dato Dr Leong Yong Kong.

“Sekali lagi Najib umumkan dalam RMK ke-11 HP merupakan antara enam hospital baru yang akan dibina selain Kemaman, Bentong, Pasir Gudang, Maran dan Baling.

“Beban hutang kerajaan meningkat lagi apabila lebih lama tertangguh, kos yang asalnya hanya RM200 juta telah pun meningkat kepada RM222.27 juta kini.

“Sebelum ini Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya pun turut memaklumkan bahawa projek ini akan diteruskan dalam RMK ke-11 dengan menggunakan kaedah ganti tanah dengan bangunan atau landswap, tapi ia masih menjadi penantian yang tidak kunjung tiba,” ujarnya.

Kata Fauzi lagi, dalam bajet 2016 pun kerajaan telah mengumumkan sekali lagi mengenai projek yang akan dilaksanakan di atas tanah yang berkeluasan 168 hektar di Kampung Banggol Pauh.

“Sebagai anak Kedah saya amat kecewa dengan apa yang sedang dipolitikkan oleh kerajaan Umno-BN sedia ada.

“Sudahlah peluang pekerjaan pun amat berkurangan bagi golongan muda, kini ditambah pula dengan pembohongan sebuah kerajaan yang memerintah untuk menyediakan khidmat kesihatan kepada kami.

“Oleh kerana itu pengundi di Pendang janganlah terpedaya sekali lagi apabila pecah tanah akan diadakan sekali lagi menjelang PRU ke-14 dengan janji akan menyiapkan HP pada tahun 2021 selepas pilihan raya akan datang,” tambahnya.

Sehubungan itu katanya, golongan muda harus bangkit dan tidak lagi menyokong sebuah kerajaan yang sentiasa membuat janji kosong dan akan terus dicanang-canang lagi.

Malah tegasnya, kerajaan negeri Kedah tidak bersungguh-sungguh untuk merealisasikan harapan pengundi Pendang bagi mendapatkan khidmat rawatan pakar bagi daerah ini.

“Yakinlah bahawa Pakatan Harapan yang didokong oleh PKR, DAP, AMANAH dan Bersatu mampu untuk menjadi penguasa yang adil dan berwibawa.

“Jika PH mampu untuk menjadi contoh pembelaan terhadap rakyat seperti yang dibuktikan oleh kerajaan Selangor dan Pulau Pinang, kenapa tidak boleh dijadikan realiti di negeri Kedah.

“Justeru, rakyat Kedah wajib sedar dan menyedari bahawa PH mesti diberi peluang untuk memimpin negeri Kedah dan tolaklah Umno dan BN serta mana-mana parti yang bersekongkol dengan mereka sekiranya mahu perubahan berlaku dalam PRU yang akan datang,”
katanya lagi.

Beliau juga berkata, banyak lagi pembohongan yang telah dilafazkan oleh pimpinan Umno dan BN dalam manifesto mereka dalam PRU ke-12 dan ke-13 yang tidak mampu dikotakan sehinggalah menjelang PRU ke-14 tidak lama lagi.

5.0
OVERALL SCORE
1 user vote x 10.0