Pengundi Permatang Pauh sokong Nurul Izzah teruskan legasi

Pengundi Permatang Pauh sokong Nurul Izzah teruskan legasi

Nurul Izzah turut mendapat perhatian dikalangan pegawai keselamatan.

Rata-rata pengundi dalam Parlimen Permatang Pauh telah lama mengenali Nurul Izzah sejak zaman era reformasi lagi.

Malah kebanyakan mereka yang ditemui mendakwa kehadiran Nurul Izzah di Permatang Pauh mengembalikan nostalgia reformasi setelah ia merupakan ‘Puteri Reformasi’ semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat daripada jawatan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1998.

Kebanyakan mereka yang ditemui mengalu-alaukan kehadiran Nurul Izzah sebagai legasi kepimpinan Anwar yang dapat meneruskan agenda perubahan yang amat diharapkan.

Samsudin Darus

Samsudin Darus, yang juga merupakan pengundi Parlimen Permatang Pauh berkata, beliau telah lama mengenali Nurul semasa ia sering naik atas pentas hampir 20 tahun yang lalu.

“Beliau bukanlah orang luar bagi kami di Permatang Pauh.

“Semasa Datuk Seri Anwar di sini, Nurul Izzah sering bersama ayah dan ibunya sejak dahulu lagi.

“Oleh kerana itu kehadirannya sebagai Ahli Parlimen kali ini amat kami sokong tanpa belah bagi, ” ujarnya.

Manakala Rohani Halib yang juga merupakan pengundi turut menyokong Nurul Izzah sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh.

“Beliau mampu membawa suara penduduk Permatang Pauh sepertimana yang ia pernah dibawa semasa menjadi Ahli Parlimen Lembah Pantai sebelum ini.

“Ia bukan saja sebagai seorang anak muda yang petah berpidato, sebaliknya ramah dan senantiasa melemparkan senyuman tanpa lokek sedikit pun.

(dari kiri) Rohani Halib dan Normah Mat

“Calon yang sebeginilah diperlukan oleh pengundi di Permatang Pauh dalam pilihan raya umum 9 Mei nanti, ” jelasnya.

Sementara itu Normah Mat ketika ditemui pula berkata, Nurul Izzah mewarisi kepimpinan yang ada pada Anwar.

“Beliau telah membuktikan banyak isu mampu disuarakan sehingga ke peringkat Parlimen.

“Nurul juga memrupakan anak muda yang berani dan sanggup bersusah payah untuk menyuarakan rintihan rakyat bawahan.

“Apa yang diperlihatkan oleh beliau ketika berada di Lembah Pantai dengan memperjuangkan nasib pelbagai golongan amat membangggakan, ” tegasnya pula.

Md Noor Md Yusoff pula berpendapat pemilihan Nurul sebagai calon Parlimen Permatang Pauh pada kali ini amat tepat kerana beliau amat dikenali oleh penduduk mahupun pengundi dalam Parlimen Permatang Pauh.

Md Noor Md Yusoff

“Jika disebut saja nama Nurul kami sudah pasti akan kaitkan dia dengan Anwar Ibrahim.

“Sebagai calon muda dia mempunyai banyak idea, mampu membawa suara penduduk kampung ke tempat yang lebih tinggi untuk didengari.

“Keberanian beliau telah pun terserlah begitu lama sehingga kami amat mengharapkan kemenangan pada kali ini akan kekal sepertimana kerusi terdahulu yang dimenangi oleh Datuk Seri Dr Wan Azizah, ” tambahnya.

Sehubungan itu katanya, pelbagai projek pembangunan termasuklah peningkatan peruntukan bagi hal ehwal Agama Islam di Pulau Pinang adalah hasil hubungan akrab yang terjalin antara Ahli Parlimen Permatang Pauh dengan kerajaan negeri sedia ada.

Nurul Izzah (kiri) ketika bertemu dengan salah seorang pengundinya yang baru lepas bersalin di Permatang Pauh semalam.

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0