Malaysia Dateline

Pengundi PRK Slim disogok BN sehingga RM150, kata Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim, Perak disogok wang untuk memilih BN.

Pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata, sogokan kepada pengundi menyebabkan parti tersebut hanya mampu memperoleh lebih 2,000 undi berbanding jangkaan.

“Kita punya kira-kira, kita patut dapat 4,000 undi, kita tak dapat angka itu. Setelah kita kaji dan kita dapati bahawa kegunaan wang sogokan amat berleluasa.

“Ramai orang yang kata ada bayaran yang mereka dapat. Ada yang dibawa dengan bas ke tempat pengundian, mereka dibayar duit atas bas, ada yang dibayar duit atas van.

“Kali pertama mungkin mereka dibayar RM100, setelah tunjuk mereka memilih BN, mereka akan dapat lagi baki RM150,” jelasnya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini.

Sehubungan itu, Mahathir yang juga bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan wujudnya penipuan secara besar-besaran dalam PRK DUN Slim.

Walau bagaimanapun, tambah bekas Perdana Menteri itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan mengambil berat sesuatu kes tanpa bukti mencukupi.