Malaysia Dateline

Pengundi Sarawak cecah dua juta selepas pindaan had umur 18 tahun

 

Jumlah pengundi berdaftar di Sarawak bakal meningkat seramai dua juta sebaik penguatkuasaan pindaan had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun.

Menurut Pengerusi Surahanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Azhar Azizan Harun, bagaimanapun pendaftaran pengundi secara automatik hanya dilaksanakan selewat-lewatnya pada Julai 2021 akan datang.

Justeru katanya,dengan peningkatan ketara jumlah pengundi berdaftar itu di seluruh negara termasuk Sarawak, maka ramai ahli parti politik mencadangkan agar persempadanan semula kawasan pilihan raya dilakukan.

” Ini adalah bagi mengelak ketidakseimbangan jumlah pengundi di sesuatu konsttituensi nanti.

“Di bawah Perlembagaan Persekutuan, persempadanan semula kawasan pilihan raya hanya boleh dilakukan sekali bagi dalam tempoh lapan tahun, “katanya.

Beliau, berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus SPR Bersama Parti-Parti Politik dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Sarawak di Kuching pada Selasa.

Tegas beliau, persempadanan semula (kawasan pilihan raya) hanya boleh dibuat jika terdapat negeri baharu dimasukkan ke dalam Persekutuan Malaysia dan seandainya jumlah kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) ditukar.

Katanya, sekiranya tidak ada perkara berbangkit seperti itu, SPR hanya menggunakan persempadanan semula yang dibuat pada Mac 2018, iaitu kali terakhir dilakukan untuk Sarawak dan Tanah Melayu.

Azhar menambah, menjelang 2023 dijangkakan seramai 22.5 juta pengundi akan meningkatkan di seluruh negara berbanding hanya 14.9 juta ketika berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Seperti yang dimaklumkan saya tadi, jumlah tersebut meningkatkan adalah selepas penguatkuasaan pindaan had umur mengundi diturunkan kepada 18 tahun dan mereka didaftarkan secara automatik selewat-lewatnya Julai 2021,” jelasnya lagi.

Berkaitan sesi libat urus itu, beliau berkata seramai 30 wakil 11 parti politik dan 20 wakil NGO telah mengambil bahagian.

“Selain perkara persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dibincangkan, isu pendaftaran dan pembersihan daftar pemilih turut mendapat perhatian.

“SPR kini menyediakan pindaan kepada peraturan pilihan raya pendaftaran pemulih 2002 dan undang-undang lain berkaitan.

“Di samping itu, SPR turut menyediakan SOP (prosedur operasi standard) dan sistem infrastruktur bagi penguatkuasaan kelayakan umur mengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik,” jelas beliau.

Kata Azhar lagi, SPR menjangkakan perkara terbabit akan selesai dalam tempoh 18 hingga 24 bulan selepas Dewan Rakyat meluluskan pindaan had umur mengundi pada 25 Julai 2019 lalu.

“Untuk menghadapi keperluan pengundi yang meningkat, SPR sedang giat mengemas kini kawasan daerah mengundi, menyelaras semua keperluan pusat mengundi termasuk mewujudkan pusat mengundi alternatif di kawasan yang sesuai,” katanya.