Malaysia Dateline

Pengundi Semenyih digesa pilih calon daripada parti kerajaan

Angkatan Wanita AMANAH Nasional (Awan) menyeru para pengundi di DUN Semenyih agar memilih calon daripada parti yang mentadbir kerajaan negeri Selangor pada hari ini.

Ketua Awan Dr Mariah Mahamud berkata, pengundi Semenyih hendaklah memberi fokus kepada apa yang mereka mahu capai di dalam pilihan raya kecil 2 Mac ini.

“Ini bukan PRU yang boleh ubah kerajaan jika kita tidak puas hati. Tetapi di dalam PRK ini kita hendak mencari seseorang yang boleh mewakili kita dan ianya adalah calon daripada kerajaan yang memerintah,” katanya ketika berceramah di Kampung Pasir Baru Hulu Semenyih malam tadi.

Beliau berkata, rakyat Semenyih perlu memilih Ahli Dewan Negeri (ADN) daripada kerajaan yang mentadbir sekali gus akan memudahkan untuk mereka mendapat semua manfaat yang disediakan kerajaan negeri.

“Kalau kita pilih selain calon PH, apa yang mereka boleh buat untuk tuan tuan dan puan-puan? Program-program kerajaan Selangor akan terus disampaikan kepada rakyat.

“Jadi kali ini kita cari seseorang yang boleh memberi kesinambungan apa yang kerajaan Selangor siapkan untuk rakyat negeri Selangor termasuk Semenyih,” ujarnya.

Sebelum PRU14 kerusi Semenyih adalah kubu kuat BN dan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kerusi ini kali pertama selepas PRU14 lalu.

Mariah berkata, pihaknya menjadi hairan kerana ada lagi warga Semenyih yang tidak tahu dan tidak mendapat manfaat apa yang disediakan kerajaan PH Selangor selama ini.

“Pusing-pusing dari rumah ke rumah tadi, tidak ada siapa yang bertanya kepada penduduk Semenyih, selama 10 tahun dah rakyat Negeri Selangor dapat skim mesra usia emas, jom shopping, peduli sihat, kasih ibu smart Selangor, dan skim peduli sihat jantung,” katanya.

Ini jelas, katanya sudah 10 tahun tetapi rakyat Semenyih terpinggir kerana sebelum tahun 2018 wakil rakyat BN tidak mampu membawa tawaran kerajaan negeri kepada Semenyih.

Justeru katanya, kini pengundi Semenyih wajar memberi peluang kepada Aiman Zainali untuk berkhidmat kepada rakyat Semenyih selepas ini.