Malaysia Dateline

Pengundi Semenyih disaran pilih jurutera muda

Sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N.24 Semenyih esok, Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad merayu kepada pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih supaya memilih calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali.

Menerusi satu warkah yang dimuat naik dalam Facebook Parti Pribumi BERSATU Malaysia, Mahathir menjelaskan, dengan pemilihan jurutera muda berusia 30 tahun itu, penduduk Semenyih bakal mempunyai wakil rakyat yang dapat menjalankan tanggungjawab secara berkesan.

Beliau berkata, tanggungjawab yang akan dilaksanakan anak tempatan Semenyih itu termasuklah, keperluan pembangunan insfrastruktur, pendidikan, kebajikan, perkhidmatan kesihatan dan pekerjaan.

“Walaupun biasanya PRK dilihat tidak akan membawa sebarang kesan kepada kerajaan, tetapi saya percaya saudara dan saudari adalah pengundi matang.

“Anda semua (pengundi) akan tetap menunaikan tanggungjawab dengan memilih seorang wakil rakyat yang bersih, cekap, amanah dan berintegriti serta dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada penduduk Semenyih,” katanya dalam warkah itu.

Menurut Mahathir, demi memulihkan keadaan negara dan kebajikan rakyat, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan PH sepanjang tempoh sembilan bulan membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri.