Prestasi ahli majlis antara masalah yang dihadapi penduduk Semenyih khususnya di kawasan taman perumahan, kata Ketua PKR Cabang Hulu Langat, Puvanendran Munusamy.
Menurutnya, ramai ahli majlis yang dilantik selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu tidak berfungsi seperti yang diharapkan pembayar cukai.
“Kalau di kampung mereka ada ketua kampung. Kawasan taman perumahan pula perlukan ahli majlis yang bekerja untuk keperluan penduduk di bandar dan pinggir bandar.
“Ramai pengundi marah dengan prestasi kerja ahli majlis. Ini isu rakyat. Kita pun sudah bincang kena tukar ahli majlis yang tidak boleh bekerja.
“Ahli majlis antara yang bermasalah adalah di Bandar Rinching Seksyen 5 dan Taman Tan Sri Manickavasagam,” dedahnya ketika ditemui Malaysia Dateline di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bandar Rinching 5 & 6 semalam.
Mengulas lanjut sikap ahli majlis seperti yang diadukan orang ramai kepadanya, Puvanendran yang mesra dipanggil Ayau memberitahu, mereka terbabit sukar untuk menjawab panggilan telefon.
“Orang telefon sampai 50 kali pun tidak mahu jawab. Ini sekali gus menjejaskan imej baik kerajaan PH (Pakatan Harapan),” tambah Ketua Komuniti Kaum India Semenyih itu lagi.