Pengundi senyap akan tolak BN dan Pas, kata Samsu Adabi

Pengundi senyap akan tolak BN dan Pas, kata Samsu Adabi

Datuk Samsu Adabi Mamat mengingatkan penyandang kerusi tiga penggal BN di Putrajaya Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor dan calon Pas agar menyedari pengundi di Putrajaya dijangka akan menolak dua calon parti tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Calon Pakatan Harapan (PH) dari Bersatu  bagi kerusi P125 Putrajaya itu menjangkakan, gelombang perubahan itu akan membabitkan kakitangan kerajaan, golongan muda dan suri rumah yang selama ini adalah pengundi senyap di Putrajaya.

“Ku Nan dikenali ramai mempunyai asetyang banyak dia juga seorang menteri pasti mempunyai banyak kekuatan.

“Tetapi sekarang ini bukan masalah saya lawan Ku Nan tetapi masalah rakyat lawan Umno-BN di Putrajaya dan seluruh negara. Mengekalkan Ku Nan di Putrajaya akan memberi kesan kepada pengurangan undi atau berkemungkinan besar kekalahan BN kali ini,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Parlimen Putrajaya bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN,Pakatan Harapan dan Pas.

Tengku Adnan diumumkan sebagai calon BN semalam dan Pas mengumumkan bekas Timbalan Naib Canselor Unisel Zainal Kidam di Putrajaya pada Khamis lalu.

Bekas pensyarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini juga turut mengingatkan pengundi yang menyokong Pas di Putrajaya agar menyokong calon Pakatan Harapan (PH) kali ini.

Ini kerana katanya, jika pengundi menyokong Pas ia tidak akan membantu pakatan pembangkang untuk membentuk kerajaan baharu sebaliknya undi mereka akan membantu memenangkan calon BN.

“Saya menyeru Pas sebaiknya bertoleransi dengan PH bagi memastikan pembangkang menerusi PH membentuk kerajaan baharu selepas PRU14.

“Jika Pas mengemukakan calonnya di hari penamaan, kita mahu rakyat menghukum Pas dengan tidak memberi undi kepada Pas.

“Ini adalah perjuangan rakyat. Jika penyokong Pas di Putrajaya inginkan perubahan tetapi memberi undi kepada Pas perubahan sukar berlaku, mereka membazir undi kerana memberi undi kepada Pas sebuah parti yang tidak boleh memerintah.

“Sedangkan parti yang boleh mengambil alih kerajaan ialah Pakatan Harapan tetapi dikesali Pas tidak bersama dalam gabungan Pakatan Harapan.

“Saya doakan agar Pas memahami situasi ini dan pengundi juga harus mengenepikan kali ini parti yang mereka dokong agar lebih mementingkan perjuangan diri sendiri untuk menukar situasi yang lebih baik berbanding hari ini,” ujar Ketua Bahagian Bersatu Cheras ini.

Justeru beliau menjangkakan sekiranya sekitar 27,306 pengundi melakukan perubahan beliau yakin kebanyakan mereka adalah ‘pengundi pintar’ yang amat memahami situasi semasa berlaku di bawah pemerintahan kerajaan Umno-BN.

“Gelombang rakyat di Putrajaya jika ikut demografi kita dapati majoriti mereka tidak meluahkan rasa kecewa mereka tetapi sebenarnya mereka kecewa. Mereka tidak berani mengkritik kerana masih berkhidmat dalam kerajaan. Tetapi mereka pasti akan terjemahkan di atas kertas undi. Di Putrajaya hanya 35%  kakitangan kerajaan selebihnya 63%  bukan kakitangan kerajaan yang kita boleh gerakkan mereka untuk keluar  mengundi.

“Kita dapat lihat Umno sedang menghadapi masalah dengan pemilihan kali ini dengan isu-isu yang dikaitkan dengan pentadbiran kerajaan Umno-BN.

“Terkini dakwaan Umno bukan lagi parti yang sah. Jabatan Pendaftar Pertubuhan mesti berlaku adil namun disebabkan penyalahgunaan kuasa menjadikan situasi negara sudah kelam kabut diperhati dunia.

“Mungkin ada kebenarannya apa yang dikatakan ramai penganalisis pada PRU14 terdapat pengundi senyap.

“Saya dapat rasakan mereka ramai di Putrajaya sejak saya mula turun mendekati pengundi.

“Cuma pengundi luar melebihi 12,000 daripada rekod terkini SPR kita ada sekitar 28,000 pengundi…ini yang kita kurang faham mungkin mereka mempunyai alamat di sini,” ujarnya yang akan menggerakkan jentera pilihan raya untuk menembusi 19 Presint di Putrajaya dalam tempoh hari yang berbaki sebelum 9 Mei ini.

Justeru katanya, bagi memastikan Pakatan Harapan menang di Putrajaya satu manifesto mini khusus akan dilaksanakan untuk pengundi.

“Kita sedang merancang manifesto mini untuk Putrajaya khusus janji kita kepada kakitangan kerajaan, orang muda dan suri rumah yang akan kita perjuangkan sekiranya kita berjaya menawan Putrajaya dan menukar kerajaan baharu,” ujarnya yang dijangka akan melancarkan manifesto mini dalam waktu terdekat ini.

Dalam PRU13 lalu penyandang Tengku Adnan Tengku Mansor menang dengan majoriti 5,541 undi menewaskan pencabarnya Datuk Husam Musa .

9.7
OVERALL SCORE
: 9.0
2 user votes x 10.0