Malaysia Dateline

Pengundi sokong Gombak kekal di bawah PH, Amiruddin seru jadikan Selangor negeri tertinggi catat peratusan mengundi

Tinggal kurang 12 jam berkempen sebelum orang Gombak, warga Selangor dan rakyat Malaysia keluar membuat keputusan untuk memilih wakil-wakil rakyat mereka di Parlimen serta gabungan pilihan mereka yang akan membentuk kerajaan Malaysia.

Tinggal kurang 12 jam berkempen sebelum hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kebanyakan pengundi menyatakan iltizam untuk kekal menyokong Pakatan Harapan di Parlimen Gombak.

Bahkan mereka menyatakan kesediaan untuk dipimpin Ahli Parlimen baru sekaligus menolak penyandang kerusi berkenaan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari berkata, setelah berkempen bermula pada 5 November lalu, beliau telah bertemu pelbagai lapisan masyarakat di Sungai Tua, Hulu Kelang, dan Gombak Setia.

“… Dan mereka menyatakan dengan iltizam yang kukuh bahawa Gombak harus kekal di bawah Pakatan Harapan dan dipimpin oleh Ahli Parlimen baharu.

“Untuk menjayakan hasrat ini, orang Gombak harus mencipta sejarah dalam PRU15 dengan mencatat peratusan pengundi yang paling tinggi di Malaysia.

“Negeri Selangor perlu menggambarkan kesuburan demokrasi dengan menjadi negeri paling tinggi jumlah pengundinya pada hari esok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amiruddin juga yakin perubahan dapat dicapai dengan semangat kerjasama yang kolektif.

“Anda tidak perlu mendaftar untuk mengundi di dalam pilihan raya ini kerana semua warganegara Malaysia berumur 18 dan ke atas didaftarkan sebagai pengundi secara automatik,” katanya lagi.

Semak status dan lokasi anda mengundi di https://mysprsemak.spr.gov.my/.

Waktu mengundi bermula jam 8 pagi esok sehingga jam 6 petang bagaimanapun Amiruddin menggalakkan seluruh penduduk Gombak dan rakyat Malaysia keluar mengundi seawal mungkin kerana Jabatan Meteorologi menjangkakan rebut petir sebelah petang di beberapa negeri.

Baca juga: Isu Kampung Bharu masih jadi keutamaan, ini tawaran Khalid Samad buat pengundi Titiwangsa