Pengundi Sungai Besar digesa balik mengundi

Pengundi Sungai Besar digesa balik mengundi

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pengundi di kawasan Parlimen Sungai Besar digesa balik mengundi pada 18 Jun ini dan memilih calon yang benar-benar mampu membela nasib mereka selain meneruskan pembangunan di kawasan berkenaan.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Ismail Sabri Yaakob yang membuat gesaan itu berkata anak jati Sungai Besar yang tinggal di luar kawasan diharap dapat menunaikan tanggungjawab mereka kerana setiap undi amat penting.

“Sungai Besar tidak jauh pun, jika ada mana-mana pengundi yang berada di Kuala Lumpur, atau sekitar Semenanjung, saya saran kalau boleh balik lah mengundi.

“Adalah diharapkan juga, pengundi-pengundi di Sungai Besar dapat memberikan undi kepada Barisan Nasional (BN) kerana calon yang dipilih parti amat tepat dengan keinginan setempat,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu yang ditemui ketika turun padang membantu calon BN Budiman Mohd Zohdi untuk berkempen, menyifatkan anak jati Sungai Besar sebagai individu paling layak meneruskan legasi parti di Sungai Besar.

Malah, katanya keterampilan Budiman yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang, satu daripada DUN di bawah Parlimen Sungai Besar, telah menunjukkan prestasi yang baik sejak berkhidmat tiga tahun lepas, selain disenangi semua golongan termasuk pengundi bukan Melayu.

“Beliau (Budiman) punyai ‘track record’ yang baik di kawasannya malah bila diumum namanya sebagai calon, kita boleh lihat mood menjadi berbeza kerana beliau diterima semua.

“Apa yang penting, sambutan baik perlu diterjemahkan dengan beri undi kepada BN pada 18 Jun nanti,” katanya.

Ismail Sabri berkata memandangkan kehadiran Ramadan, BN mengamalkan pendekatan mengurangkan ceramah umum, sebaliknya kempen lebih tertumpu kepada perjumpaan dengan pengundi bagi menghormati bulan puasa.

PRK Parlimen Sungai Besar diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Tan Sri Noriah Kasnon dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.

PRK itu menyaksikan Budiman ditentang calon PAS yang juga ADUN Meru Dr Abdul Rani Osman dan calon Parti Amanah Negara Azhar Abdul Shukur, yang mewakili Pakatan Harapan.

TAGS