
Pengundi tegar kerajaan penentu kemenangan di Tanjung Piai
Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai sememangnya menjadi percaturan terakhir bagi dua calon gergasi antara Pakatan Harapan (PH) dan BN. Setakat 12 November lalu, peluang masih 50-50 dan dijangkakan majoriti tipis bakal disaksikan dalam pertembungan enam penjuru ini.
Namun, apa yang kita boleh nilai ketika ini adalah pecahan peratusan pengundi di sekitar Parlimen Tanjung Piai yang mempunyai latar belakang berbeza. Terdapat peratusan golongan yang akan menjadi penentu bagi kemenangan calon yang bertanding di Tanjung Piai.
Kita boleh lihat pecahan peratusan golongan seperti nelayan, petani, peniaga kecil dan pekerja swasta telah menjadi dominan sebagai suara majoriti di P.165 ini. Dalam tinjauan yang dibuat, dapatan yang diperolehi mendapati kesemua golongan tersebut telah memberikan respon sama rata.
Respon dari mereka itu ‘sangat ketat’ sehinggakan kita sukar untuk memastikan siapakah pemenang dari pandangan awal dalam tinjauan turun padang ini. Apa yang berlaku adalah hakikat kekeliruan serta amalan lama pengundi yang akan turun mengundi melalui empat golongan tesebut.
Mungkin ramai yang tidak menyedari terdapat peratusan golongan yang tersembunyi yang boleh saya gelarkan sebagai ‘pengundi tegar kerajaan’. Mereka adalah golongan yang terdiri daripada penjawat awam yang berkhidmat di sektor kerajaan, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Pakatan Harapan perlu memberi perhatian terhadap golongan sekitar 15 peratus yang berdaftar sebagai pengundi ini kerana mereka boleh menjadi penentu dalam urusan kalah menang ini.
Tidak dapat dipastikan hala tuju undian mereka namun pada hakikatnya undian mereka lebih cenderung kepada pihak kerajaan pada pemerintahan sebelum ini.
Justeru, cabaran yang bakal dihadapi oleh BN adalah untuk mengekalkan undian golongan tersebut kepada mereka. Tetapi apa yang perlu difokuskan oleh BN untuk menerangkan golongan pengundi tegar kerajaan tersebut berkenaan dengan agenda mereka.
Berlainan bagi PH untuk mendekati golongan tersebut. Mereka hanya memerlukan penerangan berkenaan dengan agenda kerajaan serta menerangkan soal hala tuju kerajaan yang mahu menyelamatkan nasib golongan tersebut.
Sememangnya lebih cerah peluang yang dimiliki oleh PH bagi mendekati golongan tersebut kerana mereka adalah kerajaan yang mentadbir hari ini. Tetapi bukan mudah untuk mereka menyakinkan golongan tersebut sekiranya PH merasakan golongan itu sebagai kumpulan yang tidak mampu berfikir.
Justeru perlawanan pasti akan tertumpu pada golongan ini yang akan menjadi penentu untuk pemenang dan PRK kali ini setelah dapatan dari golongan lain dilihat sama rata dan sekata tanpa ada peratusan yang menyebelahi mana-mana pihak.
Pergerakan calon dan sentuhan mengenai kebajikan pengundi tegar kerajaan ini perlu diutamakan bagi memastikan kelangsungan kuasa sesuatu pihak terutamanya yang memerintah kerana mereka mampu menyalurkan pelbagai perkhidmatan kepada golongan tersebut.
Dalam erti kata lain, pendekatan memperjuangkan masalah seharian golongan tersebut perlu diletakkan dalam janji atau kata yang perlu dikota pada PRK kali ini. Perlawanan cakap-cakap antara lawan ini perlu juga merangkumi nasib pengundi khususnya golongan pengundi tegar kerajaan ini.
Kalau dapat dilihat, nasib mereka dengan fasiliti bangunan yang dilihat tidak diselenggara membuatkan bayangan bahawa nasib mereka seperti terabai. Antara lain nasib anak-anak golongan ini seperti pendidikan, riadah dan sosial perlu diberikan perhatian.
Berulang kalinya kita selalu melihat nasib mereka terkadang terabai dan mereka akan dilihat perlu ketika musim PRK atau PRU sahaja. Apa yang perlu difikirkan oleh semua calon adalah berdasarkan nasib mereka selepas mereka memberikan undi kepada sesiapa saja yang mereka menangkan.
Janganlah dilupakan apa yang telah mereka berikan kepada pemenang. Justeru perlawanan kali ini adalah berkisar soal bagaimana calon mahu menakluki hati pengundi tegar kerajaan yang berada di Tanjung Piai.