Malaysia Dateline

Pengundi Wangsa Maju rayu Agong pendekkan tempoh darurat

Komuniti masyarakat Wangsa Maju bersama Ahli Parlimennya, tampil menyerahkan surat rayuan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memohon agar dipendekkan tempoh darurat yang sedang berkuatkuasa ketika ini.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Dr Tan Yee Kew berkata, surat tersebut mewakili 150 orang masyarakat di kawasan Parlimennya yang telah mengadu dan meminta bantuan untuk menyelamatkan mereka ketika waktu pandemik Covid-19 ini.

Beliau berkata, dengan penggantungan Parlimen, rakyat tiada pilihan lain selain terpaksa mengemukakan permohonan kepada Agong yang merupakan ketua utama negara.

“Antara isu yang dibangkitkan dalam surat tersebut adalah kesulitan kewangan dihadapi penduduk Wangsa Maju dan kerisauan mereka terhadap ketidakstabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Mereka juga hilang keyakinan terhadap kemampuan kerajaan PN untuk membendung pandemik dan memulihkan ekonomi.

“Kami memohon kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memendekkan masa darurat yang tidak membantu membendung pandemik. Tetapi sebaliknya telah menghambat pemulihan ekonomi negara, melemahkan fungsi Parlimen dan mencemarkan imej negara,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Surat rayuan berkenaan mewakili ketua-ketua kampung di Wangsa Maju, bekas veteran tentera, penjaja dan peniaga kecil, pakar profesional, guru, bekas kakitangan kerajaan, wakil surau dan rumah ibadat, wakil KRT dan persatuan penduduk, serta Majlis Perwakilan Masyarakat.

Sementara itu Tan menegaskan, rakyat memerlukan kerajaan yang stabil dan Perdana Menteri yang berkebolehan untuk mendapatkan sokongan majoriti Parlimen untuk memimpin negara mengharungi masa yang mencabar ini.

Mereka turut berpendapat bahawa kerajaan ketika ini amat lemah dan tidak stabil dan Kabinet juga telah gagal berfungsi.

“Kami yakin bahawa Perdana Menteri telah kehilangan sokongan majoriti Parlimen.

“Kami memohon Agong untuk menggunakan kebijaksanaan dan kuasa Perlembagaan membantu rakyat dan negara dengan melantik seorang Perdana Menteri yang mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen,” katanya lagi