Pengunjung kecewa tak dapat tengok tugu helang, rupanya ini punca Dataran Lang ditutup sementara

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pengunjung yang bercuti di Pulau Langkawi berjaya mencuri tumpuan ramai selepas berkongsi ‘kegagalannya’ melawat Dataran Lang, baru-baru ini.

Menerusi satu hantaran di laman TikTok, pemuda dikenali sebagai Najmudin Shukor itu berkongsi rancangannya untuk berkunjung ke dataran tersebut pada 30 April lalu.

Hasrat Najmuddin untuk melihat tugu burung helang yang berada di dataran tersebut bagaimanapun tidak tercapai berikutan lokasi tumpuan itu ditutup sementara waktu.

Sehubungan dengan itu, Najmuddin menasihatkan pengunjung lain yang merancang mahu melawat dataran tersebut agar menangguhkan hasrat mereka terlebih dahulu.

Manakala pelawat yang telah membeli tiket atau sudah sampai di pulau bebas cukai itu pula disarankan untuk mengunjungi tempat menarik lain terdapat di Langkawi.

“Kalau datang ke Langkawi, mesti kamu semua nak datang Dataran Lang kan. Jadi saya sekarang berada di tepi jeti. (Nak kongsi) berita buruklah untuk pengunjung-pengunjung yang datang selepas tarikh ini (30 April).

“Dataran lang ditutup sementara. Saya tidak pasti berapa lama, tetapi ditutup sebab tengah renovate (dibaik pulih). Jadi sesiapa nak datang ke Dataran Lang ini boleh tangguhkan dahulu.

“Sebab kalau datang sini, memang tiada harapan nak masuk (tengok tugu helang). Jadi rugi masa sahaja. Baiklah pergi tempat lain yang menarik di kawasan Pulau Langkawi ini,” katanya.

@najmudin.shukor

Dataran Lang x bole masuk bergambar . Ade orang langkawi sini bole laaa info tutup sampai bila. #abangsoya #najmudinshukor

♬ original sound – ABANG SOYAAA – ABANG SOYAAA

Difahamkan, penutupan penuh Dataran Lang, Langkawi secara sementara itu telah bermula pada pertengahan bulan April lalu sehingga tarikh yang akan dimaklumkan.

Tinjauan di ruangan TikTok mendapati penutupan tersebut dilakukan untuk baik pulih lampu, kerja-kerja pendawaian elektrik dan projek mengecat semula tugu helang.

Penduduk Pulau Langkawi turut meninggalkan komen mencadangkan pengunjung melawat lokasi berdekatan sekiranya mahu bergambar dengan tugu helang terbabit.

“Mula tutup pada 15 April sebab baik pulih lampu, kerja pendawaian semula elektrik dan burung helang akan dicat semula. Anggaran tutup kemungkinan setahun,” kata seorang pengguna.

“(Pengungjung boleh) pergi ke Taman Helang Kuah sebelah (dataran). Lagi cantik, permandangannya. Ada juga penampakan burung helang itu.” Kongsi pengguna lain.

Baca juga: Walaupun kecewa cucu undur diri, pelakon veteran akui gembira doa di Tanah Suci termakbul