Malaysia Dateline

Pengurus bank sahkan RM1 juta masuk akaun ahli politik veteran ini

Seorang pengurus bank mengesahkan bahawa terdapat kemasukan wang berjumlah RM1 juta ke akaun Public Islamic Bank atas nama Tan Sri Shahrir Abd Samad dan isterinya, Puan Sri Shahrizan Abdullah.

Pengurus Perkhidmatan Perbankan Public Islamic Bank Berhad Cawangan Bukit Damansara, Mohd Farid M Alnafiah, 40, mengesahkan kemasukan itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, wang tersebut dimasukkan ke akaun pasangan itu bernombor 3810549101 menggunakan cek bernombor 000089, pada 28 November 2013.

Farid memberitahu baki akaun berjumlah RM82,324.96 tiga hari sebelum itu, berdasarkan penyata bank berkenaan bertarikh 4 Disember 2013.

Saksi pendakwaan ke-20 itu menjelaskan bahaw transaksi pengeluaran wang akaun terbabit pula membabitkan RM200,000 dan nombor cek 503096 pada 2 Disember 2013.

“Saya sahkan pengeluaran wang itu kepada Shahrizan kerana nombor cek itu dan butiran pada cek sama dengan penyata bank berkenaan.

“Baki akhir bagi penyata ini adalah RM882,420.14,” katanya, lapor BH Online, ketika membaca pernyataan bertulis di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin.

Shahrir, 72, yang merupakan bekas Pengerusi FELDA dan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram.

Dia tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam borang cukai pendapatan bercanggah dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Bekas pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara Malaysia (PAC) itu dikatakan tidak mengisytiharkan pendapatan diterima daripada Datuk Seri Najib Razak berjumlah RM1 juta, melalui sekeping cek yang kemudian dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Baca juga RM30,000 melayang selepas mengaku bersalah muat naik klip video sumbang – Aktor ini nasihatkan rakan artis lebih berwaspada

Baca juga Dera kanak-kanak sampai maut, jurujual dan pembantu rumah ditahan