Pengurus jabatan BNM nafi beri keterangan tidak benar dalam bicara kes Najib

Pengurus jabatan BNM nafi beri keterangan tidak benar dalam bicara kes Najib

– Pengurus jabatan di Bank Negara Malaysia (BNM) Azizul Adzani Abdul Ghafar hari ini menafikan menerima  taklimat daripada pihak tertentu supaya memberikan keterangan tidak benar dalam perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd yang dihadapi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Azizul Adzani, pengurus Jabatan Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan juga menafikan  cadangan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Najib bahawa beliau menyembunyikan sesuatu berhubung kes itu.

Semasa dirujuk laporan polis yang dibuatnya selepas  serbuan dilakukan di Ambank Jalan Raja Chulan pada  6 Julai 2015, saksi pendakwaan kedua itu berkata beliau juga mengetahui beliau mesti membuat laporan polis yang tepat.

Harvinderjit : Dari mana dapat maklumat jelas untuk buat report polis menyatakan Seksyen 4 Amla (pengubahan wang haram), tuan mesti tahu tentang tanggungjawab mana-mana pengadu dalam membuat report polis.

Tuan tahu bahawa buat satu laporan polis yang salah atau tidak tepat merupakan satu kesalahan di bawah Kanun Keseksaan?

Azizul Adzani : Tahu

Harvinderjit : Bila report polis dibuat perlu beri maklumat yang tepat.

Azizul Adzani : Tahu

Harvinderjit : Pada 10.04 malam, 6 Julai 2015, selepas habis serbuan, Tuan telah ke Balai Polis Tun H.S. Lee iaitu lebih kurang 34 minit selepas dokumen terakhir diterima dari Uma Devi (R.Uma Devi (Pengurus Cawangan Ambank Jalan Raja Chulan).

Azizul Adzani : Betul

Harvinderjit : Tuan telah pergi ke H.S. Lee buat report katakan adalah kesalahan yang disyaki di bawah Seksyen 4 Amla (pengubahan wang haram), maknanya pada 10.04 malam, kamu telah mengetahui siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4 Amla, dari mana kamu  tahu?

Azizul Adzani : Berdasarkan dokumen-dokumen yang dirampas, saya telah memasukkan Seksyen itu.

Harvinderjit : Tuan yang masukkan bukan pegawai penyiasat kes?

Azizul Adzani : Betul

Harvinderjit: Kamu telah review dokumen dalam 34 minit dan mendapat pendapat bahawa ada kesalahan di bawah Seksyen 4 Amla tapi kamu bukan pegawai penyiasat. Kamu tidak buat apa-apa panggilan kepada Tuan Farhan (pegawai penyiasat)?

Azizul Adzani : Betul

Harvinderjit : Apa dokumen yang telah dirampas yang membuat tuan berpendapat begini?

Azizul Adzani : Saya tidak ingat bagaimana keputusan itu dibuat.

Harvinderjit : Adakah kamu terima apa-apa taklimat dari mana-mana pihak untuk hadir ke perbicaraan ini dan memberikan keterangan yang tidak  benar.

Azizul Adzani : Tidak

Harvinderjit: Saya cadangkan kamu memberi keterangan yang tidak betul di mahkamah?

Azizul: Tidak

Harvinderjit: Adakah kamu ada menyembunyikan sesuatu?

Azizul: Tidak

Najib, 66, menghadapi  tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang berlangsung.– BERNAMA