Malaysia Dateline

‘Pengurus jenazah mangsa Covid-19 adalah wira kita’

Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagi Hal Ehwal Agama, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri menyatakan penghargaan kepada kumpulan yang terlibat dalam pengurusan jenazah yang dijangkiti koronavirus baharu (Covid-19).

Dalam ciapannya di Twitter malam tadi, bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu menyifatkan mereka terbabit sebagai wira.

“Mereka adalah antara wira-wira kita. Saya doakan semoga semua urusan mereka dipermudahkan Allah SWT dan dianugerahkan kepada mereka ganjaran yang besar di sisi-Nya atas pengorbanan ini,” katanya.

Mufti pertama di negara ini yang dilantik sebagai menteri itu turut menyenaraikan mereka terbabit yang dari Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).⁣

Kumpulan pengurusan jenazah mangsa Covid-19 tersebut ialah Ustaz Indra Faizal Abdul Rahim, Ustaz Muhammad Afif Jamal. dan Ustaz Mohd. Fakhru Razi Mohd. Yusof⁣.

Jenazah tersebut ialah Allahyarham Idris Atan, 57, yang mempunyai sejarah perjalanan ke Vietnam dan kontak dengan kes positif Covid-19 daripada kluster tabligh.

Allahyarham yang merupakan kes ke-290 dijangkiti Covid-19 dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 18 Mac lalu setelah mengalami gejala demam, batuk dan sakit tekak selama seminggu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, keadaan kesihatan Allahyarham kemudiannya merosot sehingga memerlukan bantuan pernafasan pada keesokan harinya dan akhirnya disahkan meninggal dunia pada 3.22 petang semalam.

Dalam masa sama, Dr Zulkifli mengingatkan pentingnya masyarakat awam mematuhi arahan kerajaan agar duduk di rumah masing-masing ketika negara menduduki tangga teratas di Asia Tenggara bagi kes jangkitan Covid-19.

“Bagaimana kita ingin membantu mereka? Sebarluaskan kempen #StayAtHome ke segenap pelusuk bandar dan kampung,” ujarnya lagi.

Jenazah yang diuruskan pasukan JAWI dibawa ke tanah perkuburan malam tadi.