Pengurus jenazah terkejut jasad pengedar dadah berbau kasturi, rupanya ini kisah sebenar

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu perkongsian daripada wanita yang bertugas sebagai pengurus jenazah tentang kejadian luar biasa melibatkan jasad seorang banduan penjara selepas menerima hukuman gantung sampai mati.

Mana tidaknya, jenazah banduan yang dihukum gantung selepas didapati bersalah mengedar dadah dalam jumlah banyak itu mengeluarkan bau harum semerbak bagaikan kasturi sehingga mengejutkan kakitangan bertugas.

Kejadian itu diceritakan oleh pengurus jenazah dikenali sebagai Dr Zai atau Doktermayat ketika menjadi tetamu dalam satu sesi audio siar atau ‘podcast’ yang mana sedutan rakamannya turut dimuat naik di platform TikTok.

Menurut Dr Zai, warden dan doktor yang bertugas ketika kejadian itu berlaku sememangnya terkejut kerana jasad banduan kebiasaannya mengeluarkan aroma kurang menyenangkan sejurus menerima hukuman gantung.

Namun situasi kali ini cukup berbeza yang mana Dr Zai berpendapat bahawa ia kemungkinan disebabkan oleh amalan-amalan dilakukan oleh banduan terbabit selama dipenjara menunggu hukuman gantung.

“Selepas digantung, selalunya bau mayat dan najis akan terus akan terus keluar dari jasad banduan. Tetapi mayat ini bau semerbak macam kasturi. Jadi doktor dan warden maklumkan kepada pengurus jenazah bahawa mayat kali ini berbeza di mana haruman kasturi memenuhi ruangan.

“Pengurus jenazah yang memandikan mayat berkenaan turut dapat menghidu bau wangi semerbak itu. Pengurus jenazah lalu bertanya kepada warden yang menjaga bilik banduan itu mengenai latar belakangnya. Wallahualam, banduan terbabit katanya pengedar dadah berkilo-kilo.

“Sepanjang dalam penjara menunggu hukuman gantung, banduan itu menerima takdirnya. Hari-hari dia nak puasa dan solat taubat dengan harapan dapat menebus segala doa yang telah dilakukan. Sampai hari dia digantung, banduan itu berada dalam keadaan berpuasa dan sudah selesai solat taubat,” katanya.

Malah warden penjara yang bertugas turut mendedahkan bahawa kejadian seperti itu pertama kali berlaku di mana bilik hukuman berkenaan dipenuhi dengan bau wangian selepas banduan digantung sampai mati.

Tambah Dr Zai lagi, pengurus jenazah juga memberitahu bahawa penggunaan kapur barus sewaktu memandikan jenazah tidak diperlukan seperti kebiasaannya berikutan jasad banduan itu sudah berbau wangi secara semula jadi.

“Kejadian itu sekali gus membenarkan firman Allah SWT bahawa mereka yang sudah bertaubat ini adalah orang-orang yang suci, seperti dinyatakan dalam Al-Quran. Jadi ini adalah rezeki masing-masing. Walaupun dia banduan, tetapi dapat meninggal dunia dalam keadaan baik.

“Bukan semua orang mendapat rezeki jenazah dia berbau kasturi sampai mereka yang bukan Islam juga cakap ini adalah kejadian pertama mayat berbau kasturi selepas digantung. Sangat wangi, tak perlu pakai minyak atar. Itu cara Allah mengangkat darjat orang yang bertaubat.” Ujarnya.

Baca juga: Adik bawa balik awek sampai tidur dengan mak, baru tahu jantina sebenar lepas purdah terselak