Pengurus tahfiz tergamak culik isteri bawa ke Kelantan, terkejut bila tahu puncanya

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, seorang pengurus tahfiz tergamak menculik isterinya sendiri semata-mata mahu membawa wanita itu bercuti ke Kelantan.

Kejadian mencemaskan itu bermula apabila wanita berkenaan terserempak dengan dua orang lelaki tidak dikenali di dalam sebuah lif pangsapuri di Jalan Ampang.

Mangsa yang berusia 38 tahun itu kemudian diarahkan untuk mengikut kedua lelaki terbabit menuju ke tangga memandangkan suaminya sedang menunggunya di situ.

Sebaik sahaja sampai di tangga, suspek yang bekerja sebagai pengurus tahfiz itu kemudian bertindak membawanya masuk ke dalam sebuah kereta secara paksa.

Tidak hanya dibawa ‘bercuti’ tanpa kerelaannya, wanita tersebut turut dikurung oleh suaminya sendiri di dalam sebuah inap desa yang terletak di Pasir Putih, Kelantan. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kes penculikan yang diketuai oleh suami mangsa itu berlaku pada 12 Oktober lalu.

Mangsa yang merupakan isteri ketiga suspek itu bagaimanapun berjaya melarikan diri keesokkan harinya (13 Oktober) ketika pengurus tahfiz berkenaan sedang tidur.

Bertindak atas laporan, pihak polis kemudian mengenal pasti dan menangkap dua orang suspek di Taman Ampang Mewah, Ampang, Selangor pada 19 Oktober lalu.

“Suspek pertama mempunyai satu rekod kesalahan lampau. Lelaki tempatan berumur 39 tahun, bekerja sebagai pengurus tahfiz yang merupakan suami pengadu.

“Manakala tangkapan kedua merupakan rakan suspek iaitu seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun yang bekerja sebagai pembantu sekolah tahfiz.

“Punca kejadian kerana pengadu enggan mengikuti suspek bercuti ke Kelantan serta enggan mendaftar taraf perkahwinan. Pengadu adalah isteri ketiga suspek,” katanya.

Jelas Azam, kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan jika didapati bersalah, suspek boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun beserta denda.

Butiran kes tersebut dikongsikan oleh Mohd Azam menerusi satu kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman Facebook milik Polis Daerah Ampang Jaya.

Baca juga: Datuk Seri Vida pula dedah kenapa dah tak nak taja Gegar Vaganza, “dah faham kan kenapa saya merentan dulu”