Pengurusan baharu 1MDB tuntut kapal layar Equanimity, kata peguam

Pengurusan baharu 1MDB tuntut kapal layar Equanimity, kata peguam

Kapal layar mewah Equanimity hari ini dituntut 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selepas berlabuh di Boustead Cruise Center di Pelabuhan Kelang tengah hari ini.

Peguam yang mewakili Pejabat Peguam Negara, Sitpah Selvaratnam berkata, 1MDB membuat tuntutan itu berdasarkan saman pelucutan hak oleh Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat tahun lalu.

“1MDB dibawah pengurusan baharu menuntut Equanimity kerana mereka percaya wang mereka telah disalah guna dan dibelanjakan untuk membeli kapal layar mewah itu,” katanya dalam sidang media yang diadakan hari ini.

Sitpah dan seorang lagi peguam Jeremy Joseph dilihat menaiki kapal Equanimity itu tengah hari tadi.

Katanya, pengurusan lama 1MDB menafikan sebarang kaitan dengan Equanimity dan menafikan wangnya telah disalah guna dan menolak saman sivil DoJ itu.

Katanya lagi, buat masa ini tiada apa-apa boleh dilakukan ke atas kapal tersebut tanpa perintah mahkamah.

“Kapal berada dalam keadaan baik.

” Ini kerana proses siasatan selanjutnya akan bermula pada minggu hadapan. Kita sudah mendapat waran daripada Mahkamah Kuala Lumpur,” ujarnya yang berkata kedua pihak, syarikat peaburan dan dua anak syarikat dengan kerajaan sudah melantik peguam masing-masing.

Peguam Jeremy Joseph pula berkata, kos penyelenggaraan bagi kapal mewah tersebut dianggarkan mungkin bernilai RM3juta setiap bulan berdasarkan pemerhatian awal.

“Itu cuma anggaran awal dan siasatan lanjut akan dilakukan untuk mengesahkan perkara ini,”katanya.

Hari ini dalam satu kenyataan Peguam Negara Tommy Thomas pula dipetik berkata, Jabatan Peguam Negara telah memohon bidang kuasa Admiralti Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur terhadap kapal layar tersebut dan pada Isnin mahkamah mengeluarkan Waran Penahanan terhadapnya.

“Oleh itu, Equanimity kini  disita secara teratur di bawah undang-undang Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan diedarkan sejurus selepas kapal layar itu berlabuh di Boustead Cruise Center .

Tommy Thomas menjelaskan, rampasan kapal layar mewah itu dibuat mengikut undang-undang atas kerjasama dengan kerajaan Indonesia dan Amerika Syarikat.

Kapal layar tersebut telah disita oleh pihak berkuasa Indonesia di Bali pada 28 Februari 2018 atas permohonan DoJ

“Penyitaan tersebut dibuat atas inisiatif D0J yang menuntut hak milik ke atas kapal layar tersebut bagi pihak Malaysia dan 1MDB kerana wang milik kita telah digunakan untuk membelinya,” tambah beliau.

Thomas juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Indonesia dan Amerika Syarikat, terutamanya Polis Republik Indonesia (Polri) dalam menghulurkan kerjasama dengan Malaysia untuk membolehkan Equanimity kembali ke negara ini.

Menurut beliau, antara agensi tempatan yang terlibat dalam operasi tersebut adalah Polis Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

9.7
OVERALL SCORE
: 9.0
2 user votes x 10.0