Malaysia Dateline

Pengurusan hutang berkesan pastikan kemampuan Melaka laksana inisiatif rakyat

Kerajaan Negeri Melaka berkata adalah penting untuk melaksanakan pengurusan hutang berkesan dalam memastikan hutang kerajaan negeri berjumlah sekitar RM1.8 bilion tidak mengekang keupayaannya untuk melaksanakan inisiatif bagi membantu rakyat.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata kerajaan negeri yakin dapat melaksanakan pelbagai pelan antaranya meningkatkan pendapatan dan penjimatan bagi mengurangkan beban hutang kerajaan negeri.

“Membayar hutang adalah tanggungjawab kita dan kita sebagai sebuah kerajaan bertanggungjawab perlu menjalankan pentadbiran ini dengan penuh amanah. Kita ada ruang lain untuk memastikan kita (kerajaan negeri) tidak terkesan.

“Apa yang penting sekarang kita fokus kepada kewangan untuk rakyat, kewangan kita ada ini mampu bantu rakyat dengan berkesan,” katanya kepada Bernama.

Adly sebelum ini dilaporkan sebagai berkata daripada hutang RM1.8 bilion itu, RM850 juta adalah hutang awam, hutang defisit RM600 juta, dan hutang pendahuluan RM350 juta.

Ketika pembentangan Belanjawan 2019 pada November lepas, Kerajaan Negeri Melaka menganggarkan memperoleh hasil RM384.29 juta tahun ini, peningkatan 2.76 peratus berbanding RM373.96 juta pada tahun lepas.

Juga dilaporkan sebelum ini, genap setahun pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka di bawah Pakatan Harapan pada 9 Mei lepas, kerajaan negeri itu dapat mengurangkan hutang hampir RM5 juta.

Adly berkata kerajaan negeri juga sedang mengorak langkah memastikan tiada pembaziran peruntukkan terhadap inisiatif yang dilaksana untuk rakyat dan setiap peruntukan yang dikeluarkan kerajaan negeri dapat memberi kesan terbaik membantu rakyat.

“Kita mahu lebih fokus kepada kumpulan sasar, yang mana peruntukan digunakan secara spesifik untuk bantu kumpulan sasar tertentu. Ini membolehkan kita berbelanja secara bijak,” katanya.

Selain itu, katanya fokus terhadap usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa juga penting bagi memastikan sumber kewangan kerajaan yang digunakan untuk membantu rakyat itu tidak terkesan.

“Bila kerajaan masa ini bangkitkan isu rasuah salah guna kuasa ia terkait dengan gelombang menyerang kerajaan sedia ada, pembangkang berdepan dengan kerajaan yang dapat kuasa tetapi perlu diingat mengapa pembangkang itu hilang kuasa dahulu.

“Fokus kita di pihak kita tidak membelakangkan ekonomi kepada rakyat yang mana ini melibatkan proses banteras rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.- BERNAMA