Malaysia Dateline

Lim Guan Eng banglo 1

Pengurusan kes rasuah Guan Eng, ahli perniagaan 14 Nov

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini menetapkan 14 November bagi pengurusan kes rasuah membabitkan Ketua Menteri Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon berhubung pembelian banglo di bawah nilai pasaran.

Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh itu selepas peguam R.S.N Rayer yang mewakili Lim memaklumkan perbicaraan bagi rayuan Lim dan Phang terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang menolak permohonan mereka untuk mencabar Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Rayuan Putrajaya bermula 7 Ogos ini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed dan Mohd Ashrof Adrin Kamarul manakala Phang diwakili Datuk V. Sithambaram.

Bagaimanapun Lim dan Phang tidak hadir di mahkamah.

Pada 20 Mac lepas, mahkamah itu menangguhkan perbicaraan kes rasuah Lim dan Phang yang ditetapkan pada 27 Mac sehingga rayuan mereka untuk mencabar Akta SPRM selesai.

Sebelum itu, pada 7 Mac, mahkamah itu menolak permohonan Lim dan Phang untuk mengisytiharkan Seksyen 62 Akta SPRM 2009 sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Lim dan Phang memfailkan permohonan itu pada Januari tahun ini.

Pada 30 Jun tahun lepas, Lim, 56, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada pertanian kepada perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai pasaran.

Bagi pertuduhan pertama, Lim sebagai penjawat awam, Ketua Menteri Pulau Pinang dituduh menggunakan kedudukannnya mendapatkan suapan untuk dirinya dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan meluluskan permohonan penukaran tanah pertanian kepada perumahan awam di daerah barat daya Pulau Pinang kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan, Tingkat 28, Bangunan KOMTAR, Georgetown, pada 18 Julai 2014.

Lim didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Atas pertuduhan kedua, beliau sebagai penjawat awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang, dituduh mendapatkan untuk dirinya satu lot tanah dan banglo di alamat No 25, Jalan Pinhorn, pada harga yang dia tahu tidak sepadan dengan nilainya, daripada Phang iaitu RM2.8 juta sedangkan nilai pasaran ketika itu ialah RM4.27 juta.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di No 25, Jalan Pinhorn, pada 28 Julai, 2015 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Phang selaku bekas pemilik banglo itu, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan Lim untuk mendapatkan banglo tersebut di bawah harga pasaran pada tempat dan tarikh sama.

Ahli perniagaan wanita itu dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 165, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.