Malaysia Dateline

Pengurusan kes saman sekolah vernakular 2 November

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 2 November depan untuk pengurusan kes permohonan seorang peguam untuk menarik balik samannya bagi mengisytiharkan kewujudan sekolah vernakular sebagai tidak mengikut perlembagaan.

Peguam Abdul Rahim Sinwan, berkata pendengaran kes permohonan anak guamnya Mohd Khairul Azam Abdul Aziz sudah dilapangkan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur yang berkuat kuasa 14 Oktober sehingga 27 Oktober ini.

“Berdasarkan e-mel yang diterima daripada pihak mahkamah pada 14 Oktober lalu, pendengaran yang sudah ditetapkan hari ini (21 Oktober) ditangguh dan dilapangkan.

“Pengurusan kes ditetapkan pada 2 November di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Puan Nor ‘Aqilah Abdul Halim, jam 9 pagi,” lapor Bernama.

Pada Januari lalu, Mohd Khairul Azam memfailkan saman memohon diisytiharkan bahawa Seksyen 28 dan 17 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), yang membenarkan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa perantaraan utama di sekolah vernakular adalah bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

Peguam itu menamakan kerajaan Malaysia dan Menteri Pendidikan sebagai defendan.

Mohd Khairul Azam kemudian memohon untuk menarik balik samannya atas alasan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia sudah memfailkan saman serupa.

Majlis Bahasa Cina Malaysia, Persatuan Bahasa Tamil dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil bagaimanapun membantah permohonan peguam itu untuk menarik balik samannya atas alasan beliau memfailkannya demi mendapatkan publisiti.

Tiga kumpulan itu adalah antara 14 parti politik dan organisasi yang dibenarkan oleh Hakim Datuk Nordin Hassan untuk mencelah dalam saman itu.