Pengurusan tanah negeri Johor ‘cacamarba’, kata Salahuddin

Pengurusan tanah negeri Johor ‘cacamarba’, kata Salahuddin

 

Pengurusan tanah di negeri Johor sekiranya  tidak ditadbirurus secara  telus dan mengoptimakan penggunaannya akan memberi kesan buruk kepada ekonomi dan sosial rakyat negeri Johor, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Pengurusan tanah di negeri Johor sekiranya  tidak ditadbirurus secara  telus dan mengoptimakan penggunaannya akan memberi kesan buruk kepada ekonomi dan sosial rakyat negeri Johor, kata Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.

Beliau berkata, antara perkara penting yang menjadi fokus rakyat negeri Johor pada masa ini, mengenai sejauhmanakah pengurusan tanah di negeri Johor dilaksanakan secara berkesan.

“Realitinya yang dilihat rakyat sangat berbeza. Pengurusan bukan sahaja tidak terurus dengan baik, malahan tidak mengikut syarat-syarat tanah negeri Johor.

“Pengurusan tanah yang cacamarba akan menyebabkan pembangunan negeri Johor tidak seimbang. Ia bukan sahaja memberi kesan kepada hasil kerajaan negeri, bahkan meninggalkan kesan buruk kepada ekonomi sosial rakyat negeri Johor pada masa akan datang,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Baru-baru ini menerusi Laporan Audit Negara mendedahkan Kerajaan Negeri Johor gagal mengutip cukai tanah sebanyak RM2.94 juta dalam tempoh yang ditetapkan.

Ini kerana mengikut seksyen 124(8) Kanun Tanah Negara (KTN), sewa dan premium dalam mana-mana arahan yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Negeri perlu dibayar dalam tempoh 6 bulan daripada tarikh penyampaian borang 7G (Notis Pembayaran).

Justeru katanya lagi, daripada laporan audit itu menunjukkan kemungkinan berlaku ketirisan yang mana sekiranya pemohon gagal menjelaskannya dalam tempoh yang ditetapkan, kelulusan akan terbatal.

“Semakan Audit mendapati 29 permohonan ubah syarat tanah yang telah diluluskan pada tahun 2013 hingga 2015 tidak menjelaskan bayaran yang berjumlah RM2.94 juta.

“Disamping itu, situasi pelanggaran syarat tanah juga menjadi satu fenomena yang tidak terurus dengan baik apabila semakan Audit menunjukkan Johor Bharu dan Segamat merekodkan 144 pemohon telah melanggar syarat tanah semasa membuat permohonan ubah syarat tanah sama ada tujuan pertanian, bangunan ataupun industri.

“Kelemahan daripada pengurusan ini menyebabkan kerajaan kerugian ratusan ribu ringgit kerana mengikut laporan tanah, sesebuah premis gudang bersaiz lebih 3.5 hektar dan dua lot boleh menyumbang hasil setiap tahun sebanyak RM18,279.

“Malangnya disebabkan kemungkinan berlakunya ketirisan, maka hasil ini hanya RM175 setahun,” terangnya.

Justeru beliau percaya badan-badan audit serta penasihat profesional luar juga perlu dilibatkan seperti Deloitte, Pricewarterhouse Coopers, Malaysian Institute of Accountant, Real Estate And Housing Developers Association M’sia (Rehda), National House Buyers Association (HBA) dan Worldwide Consumers Association Johor.

“Usaha ini bertujuan untuk melahirkan satu kualiti kepimpinan kerajaan negeri yang terbaik agar negeri dan rakyat mendapat manfaat yang lebih baik.

“Bermacam-macam projek kebajikan untuk rakyat boleh dibuat sekiranya negeri Johor berjaya ditadbir dengan lebih cekap dan bersih pada hari ini.

“Saya juga percaya perubahan perlu dilakukan untuk mengembalikan kecekapan dan urustadbir yang bersih di negeri Johor yang tercinta ini,” ujarnya.

Salahuddin sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa untuk turut membuka kertas siasatan terhadap Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Siasatan terhadap Khaled dan exco perlu dilakukan memandangkan Khaled adalah individu yang mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri.

Salahuddin mengulas mengenai exco kerajaan negeri Datuk Abd Latif Bandi yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen 19 April lalu bersama seorang perunding hartanah Amir Shariffudin atas 33 pertuduhan membabitkan rasuah hartanah bernilai RM30.3 juta.

SPRM pada 20 April juga telah mengenal pasti beberapa kelemahan dalam sistem dan prosedur perumahan Bumiputera Johor, yang dipercayai sehingga berlakunya gejala rasuah dan salah guna kuasa seperti didedahkan Ketua Pesuruhjayanya Datuk Dzulkifli Ahmad.

Beliau dilaporkan berkata akan mengemukakan cadangan-cadangan penambahbaikan kepada kerajaan negeri bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil untuk memastikan sistem, prosedur dan kelemahan-kelemahan itu dapat diatasi agar ia tidak berulang pada masa depan.

TAGS