Pengurusan YWP tidak melibatkan kepentingan politik dan peribadi, kata Khalid Samad

Pengurusan YWP tidak melibatkan kepentingan politik dan peribadi, kata Khalid Samad

Pengerusi Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) Khalid Samad menegaskan, yayasan di bawah kendaliannya itu tidak mempunyai agenda tersirat, demi mencapai kepentingan politik atau peribadi.

Beliau menjelaskan, pihaknya akan mengendalikan YWP seperti mana ia perlu dilaksanakan, tanpa melibatkan mana-mana pihak yang berkepentingan.

“Di bawah kepimpinan baharu ini, kita mengamalkan prinsip telus dan terbuka. Kita juga akan selalu mengadakan sidang media berhubung sebarang perkembangan tentang YWP.

“Tujuan sidang media itu diadakan supaya masyarakat tahu tentang peranan kami. Tugas kami adalah untuk membantu warga kota yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas mengenai peranan Menteri Wilayah Persekutuan selaku Pengerusi YWP, di pejabat YWP, hari ini.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) YWP, Zaizalnizam Zainun.

Dalam sidang media itu, Khalid yang juga merupakan Menteri Wilayah menjelaskan mengenai mandat Kerajaan Persekutuan yang memberi tanggungjawab kepada beliau untuk menjadi Pengerusi di YWP.

Selain itu, Pengarah Komunikasi AMANAH itu turut menerangkan secara terperinci berkenaan saham dalam YWP, pendapatan dan perbelanjaan program serta prosedur sekiranya pembubaran yayasan itu.

Sehubungan penjelasannya dalam sidang media berkenaan, Khalid berkata masyarakat wajar mengetahui bahawa tiada kepentingan peribadi dalam YWP, kerana Ahli Lembaga Pengarah (ALPA) dipertanggungjawabkan mencari dana demi kebajikan rakyat yang memerlukan.

“ALPA juga tidak boleh menerima sebarang keuntungan peribadi dalam menjalankan tanggungjawab mereka,” ujarnya.