Malaysia Dateline

Pengusaha kedai gunting rambut hidup susah ‘sekolahkan’ menteri

Bukan sedikit pengusaha kedai gunting rambut yang meluahkan rasa tidak puas hati terhadap Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ekoran larangan beroperasi.

Rata-rata mereka memberitahu hidup semakin terhimpit apabila kerajaan masih tidak membenarkan perniagaan mereka beroperasi.

Akibatnya, tukang gunting rambut berbilang kaum meluahkan perasaan kecewa dan bimbang mereka di ruang komentar Facebook Menteri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali semalam.

Terdahulu, bekas pemimpin PKR itu memuat naik status antara lain berkata, kehilangan pendapatan untuk seorang pencari nafkah akan menjejaskan kehidupan sekurang-kurangnya empat orang yang lain di dalam sesebuah keluarga.

“Itu yang kami tukang gunting katakan. Takkan baru faham. Kalau kami hilang sumber pendapatan, keluarga kami hilang sumber makanan, semua salon barber terjejas,” luah Kuhan Slayers.

Sementara itu, pengguna Facebook, En Anas pula menyoal Azmin sejauh mana dia tahu tentang jumlah salon dan pusat dandanan rambut yang terpaksa gulung tikar ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“YB tahu tak sekarang ni berapa susah hidup kami sebagai tukang gunting rambut apabila kerajaan tidak benarkan kami beroperasi?

“Berapa ramai yang gulung tikar? YB tahu ke tidak? Kami ini kais pagi makan pagi tau YB.

“Janganlah buat pemain industri barber/salon begini. Tolong benarkan kami beroperasi dengan kadar segera ya, YB Azmin Ali. Tolonglah,” rayunya lagi.

Azmin Ali

Hilang pendapatan

Pengusaha kedai rambut, Jeff Loo seperti ribuan rakyat Malaysia yang mencari rezeki di bawah sektor perkhidmatan guntingan dan dandanan rambut juga tampil bersuara.

“Kalau posting ini (Azmin Ali) betul-betul ikhlas dari YB, tolong bertindak segera untuk hulurkan bantuan kepada ramai orang yang hilang pendapatan sebab tidak dibenarkan beroperasi oleh kerajaan. Contohnya, tukang gunting rambut,” katanya.

Isi hati sama diluahkan Mohd Hafizi Adzli apabila Azmin menulis tentang pendapatan seisi keluarga terjejas apabila seorang sahaja hilang mata pencarian.

“YB ramai juga ketua keluarga empat orang anak pengusaha barber yang masih belum dapat beroperasi,” ujarnya.

Sektor perkhidmatan guntingan, dandanan rambut dan pusat kecantikan menyumbang Keluaran Dalam Negara Kasar berjumlah RM13.5 bilion setahun.

Kira-kira 74,500 tenaga kerja dari 16,728 perniagaan berdaftar di bawah sektor itu terpaksa sekali lagi menutup pintu perniagaan mereka pada pelaksanaan PKP 2.0 kali ini.

Namun, dilaporkan kira-kira 5,800 salon dan pusat dandanan rambut terpaksa gulung tikar sejak PKP dilaksanakan Mac tahun lalu sehingga kini.

Semalam, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan untuk membuka beberapa sektor ekonomi termasuk operasi kedai gunting rambut akan dibuat berdasarkan pertimbangan semua pihak termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Sebuah kedai gunting rambut di Kampung Sungai Choh, Rawang di Selangor kira-kira 30 km di utara Kuala Lumpur.