Malaysia Dateline

Pengusaha kilang rakus benarkan pekerja asing positif Covid-19 hadir bekerja

Seorang mangsa Covid-19, Muhammad Ammar Faiz di Sungai Petani, Kedah memberitahu beliau sekeluarga terdiri daripada sembilan orang telah dijangkiti Covid-19.

Beliau menyifatkan situasi dihadapi mereka seperti kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga selepas ada pengusaha kilang membenarkan pekerja asing yang positif pandemik itu hadir juga untuk bekerja.

“Belum lagi campur keluarga yang lain (dijangkiti) yang turut sama dijangkiti virus tersebut.

“Kami sekeluarga perlu kuat untuk melawan virus ini. Isteri saya sedang hamil, mana nak campak kesedihan tersebut?!!” luahnya dalam hantaran di Facebook.

Menurut Ammar, jangkitan di kawasan didiaminya berkaitan dengan Kluster Dah Bukit Makmur yang diumumkan sebagai kluster baharu pada 12 Jun lalu.

Untuk rekod, sebanyak 41 kes positif Covid-19 sudah dikesan sehingga hari ini daripada 377 individu yang telah disaring selepas kes indeks seorang warganegara berusia 38 tahun disahkan dijangkiti wabak itu pada 30 Mei lalu.

“Dari situlah berpuncanya kes ini. Akibat kerakusan pengusaha kilang yang membenarkan pekerja asing kilang yang positif (Covid-19) untuk hadir juga untuk bekerja!” luahnya.

Sehubungan itu, beliau berharap pihak kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dapat membuka mata.

Beliau dalam masa sama berpendapat kumpulan pekerja asing positif Covid-19 yang disumbat naik lori dalam gambar dan video yang tular semalam dilayan seperti haiwan.

“Saya harap ada pihak yang mengambil berat akan kesalahan yang dilakukan sebegini.
Sudah terhantuk baru terngadah.

“Sekarang baru kalut nak bawa seramai mungkin warga asing tersebut menaiki lori untuk ke hospital! Seperti binatang diperlakukan sedemikian rupa!

“Doakan kami sekeluarga pulih seperti biasa,” kata Ammar lagi.