Malaysia Dateline

Pengusaha ladang tebu telur di Kelantan bakal rugi

Pengusaha ladang tebu telur di Kelantan bakal menghadapi kerugian apabila hasil mereka yang dijanjikan kerajaan untuk dipasarkan tidak dilaksanakan.

Sedangkan sebelum ini kerajaan melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Kelantan (PKPNK) memberi jaminan akan membeli hasil tanaman tebu telur apabila matang nanti.

Sekiranya kerajaan tidak mengambil apa-apa tindakan penanam memberitahu mereka akan memusnahkan tanaman tebu telur dengan menggantikan tanaman padi.

“Namun sampai sekarang tiada apa-apa perkembangan lagi, mereka akan musnahkan ladang dan akan menanam padi semula.

“Sudah banyak wang dihabiskan, mohon pihak yang bertanggungjawab dalam kerajaan negeri mengambil tindakan segera. Tolonglah bantu,” kata pengguna Facebook yang dikenali Khier Zahrie.

Beliau berkongsi gambar tanaman tebu telur milik kawannya yang diusahakan di Tumpat Kelantan seluas 7 ekar di Facebooknya.

Ketika dihubungi Malaysia Dateline, beliau yang mahu dikenali sebagai Kheir sahaja berkata, benih tebu telur diberikan oleh kerajaan dengan menjanjikan hasil akan dibeli balik dari penanam.

“Yang menjadi masalah sekarang tebu sudah matang. Pihak kerajaan masih belum berurusan dengan penanam khususnya kawan saya ini.

“Ramai juga yang tanam tebu ini dan apa yang diberitahu oleh penanam ada syarikat dari Singapura yang akan beli hasil mereka,” katanya.

Beliau melahirkan rasa bimbang terhadap nasib penanam tebu telur ini kerana tebu tidak boleh dibiarkan terlalu lama dan akan merosakkan kualiti manis tebu itu.

Bahkan katanya, pengusaha ladang ini telah mengeluarkan modal lebih kurang RM30,000 dengan keluasan ladang sebanyak 7 ekar.

“Jika tidak ada tindakan dari pihak kerajaan dia akan musnahkan dengan jentera pembajak,”katanya yang turut menasihati kawannya agar bersabar dahulu.

Untuk rekod, PKPNK membantu para petani tempatan untuk memasarkan hasil tanaman tersebut sehingga ke luar negara justeru menggalakkan petani menanam tebu telur kerana prospeknya sangat baik.

Para penanam mampu meraih pendapatan sebanyak RM20,000 bagi setiap 0.46 hektar kawasan tebu telur yang diusahakan.

Setiap 0.46 hektar ianya boleh ditanam dengan 12,000 pokok tebu telur dengan nilai hasil RM1.50 hingga RM2.50 sebatang dan pokok ini boleh mencapai ketinggian sehingga empat meter.

Tanaman ini boleh dituai dalam tempoh lapan bulan. Selain menghasilkan jus minuman berkualiti, daunnya amat sesuai dijadikan makanan haiwan ternakan.