Malaysia Dateline

Pengusaha stesen minyak rayu SPRM, kerajaan siasat salah laku pembekal minyak

Walaupun telah dua belas tahun menjalankan operasi stesen minyak di Mak Mandin, Butterworth dan sebuah lagi stesen minyak di Lingkaran Luar Butterworth (LLB) Bagan Ajam, nasib tidak menyebelahi pengusahanya, Abdullah Mohamed Nor apabila stesen yang telah

memberi khidmat kepada lebih 3000 penduduk sekitar kawasan tersebut terpaksa ditutup sejak seminggu yang lalu.

Beliau yang ditemui semalam mendakwa terdapat unsur-unsur penganiayaan dan sabotaj oleh pihak tertentu sehinggakan 25 orang pekerjanya telah hilang pekerjaan dan mata pencarian.

“Aduan telah dibuat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pulau Pinang sebelum ini supaya satu siasatan dibuat terhadap pembekal.

“Dua laporan polis juga telah dibuat supaya siasatan dapat dilakukan kerana terdapat beberapa insiden yang mencurigakan sebelum ini.

“Kami juga merayu dengan sepenuh hati dan berharap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dapat menjalankan siasatan bagi memastikan tidak ada salah laku sehinggakan memberi kerugian besar kepada pengusaha Bumiputera yang cuba bangkit dan

menceburi bidang ini, ” jelas beliau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi, Teras Pengupayaan Melayu Pulau Pinang.

Menurut Abdullah lagi, stesen minyak LLB, Bagan Ajam, merupakan satu-satunya stesen tepi pantai dalam negara yang telah beroperasi dan dikendalikan oleh Bumiputera sehingga ini.

Tambah beliau lagi, adalah diharapkan kerajaan sedia ada mampu untuk memastikan nasib pengusaha stesen minyak Bumiputera mendapat pembelaan yang sewajarnya dan adanya percambahan kuantiti tanpa banyaknya tribulasi.