Peniaga bazar di Jalan Masjid India dipindahkan ke lokasi baharu dalam waktu terdekat

Peniaga bazar di Jalan Masjid India dipindahkan ke lokasi baharu dalam waktu terdekat
Khalid Abdul Samad

Menteri Wilayah, Khalid Samad bercadang memindahkan semua peniaga Bazar Melayu Moden di Jalan Masjid India ke kawasan berhampiran yang lebih strategik dalam waktu terdekat.

Beliau berkata, cadangan pemindahan itu adalah tindakan segera daripada pihaknya, bagaimanapun lokasinya belum dimuktamadkan.

“Kami bercadang memindahkan semua peniaga kerana berniaga secara berkelompok di kawasan kejadian.

“Lagipun kawasan ini sudah terbakar dan kita tidak tahu dari sudut keselamatannya, bimbang ia akan mengundang bahaya jika terus berniaga di kawasan ini.

“Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu menyediakan lokasi baharu secepat mungkin untuk peniaga meneruskan perniagaan.

“Saya juga akan berbincang dengan pihak DBKL untuk memuktamadkan tarikh peniaga berpindah ke tempat baharu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di lokasi kebakaran, berhadapan Kompleks Wisma Yakin, hari ini.

Ketika ditanya mengenai pekerja mempunyai insuran atau tidak untuk membuat tuntutan, Khalid berkata perkara itu agak sukar dimuktamadkan kerana kawasan kejadian tidak menepati piawaian keselamatan.

“Namun, kita akan cuba membantu peniaga yang mempunyai perlindungan insuran untuk mereka mendapatkan tuntutan,” katanya.

Baca: 30 penajaja dapat bantuan raya

Khalid memaklumkan, Jumaat ini pihaknya akan menghulurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran menerusi satu program khas bagi membantu meringankan beban mereka.

Dalam perkembangan sama Datuk Bandar Kuala Lumpur DatukNor Hisham Ahmad Dahlan yang melawat kawasan kebakaran dalam kenyataan turut memaklumkan 30 penjaja akan dipindahkan di satu lokasi baru di Lorong TAR 3 atauu 5 dalam waktu terdekat.

Awal pagi tadi, lebih 30 gerai di hadapan kompleks Wisma Yakin di Jalan Masjid India di terbakar.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Penolong Penguasa Bomba L Logeswaran dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 1.35 pagi tadi.

Kebakaran dapat dikawal kira-kira 20 minit kemudian dan api dipadamkan sepenuhnya pada jam 2.04 pagi.

Difahamkan, kebakaran membabitkan kawasan perniagaan berkeluasan kira-kira 2,000 kaki persegi (185.5 meter persegi) yang menempatkan 134 penjaja.