Peniaga bazar Ramadan jangan ambil kesempatan! SST tak melibatkan sektor makanan

Oleh MAISARAH AISYA

Kerajaan pada Jumaat lalu mengumumkan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dinaikkan kepada lapan peratus berbanding enam peratus sebelum ini.

Ini adalah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan daya tahan kewangan negara dan mengurangkan defisit belanjawan serta membantu kerajaan terus menjana pendapatan.

Menurut Free Malaysia Today (FMT), Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh menyarankan peniaga untuk tak ambil kesempatan.

Tambahnya, tindakan tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan jika didapati bersalah.

“Pengguna harus tahu kategori apa yang dinaikkan SST. Ia ada banyak (kategori), tapi yang kita buat Ops Kesan ini ada empat, perhotelan, kesihatan dan kesejahteraan, pusat penyediaan latihan dan tunjuk ajar dan juga perkhidmatan dobi.

“Kita pantau Ops Kesan ini empat dan kita cari kedai yang nilai ambangnya lebih daripada RM500,000, bukannya yang kecil-kecil.

“Jadi, bukan semua yang naik dan juga orang ramai harus tahu makanan dan minuman tidak termasuk kenaikan SST,” katanya seperti dipetik FMT.

Orang ramai juga perlu lebih peka dengan maklumat berkaitan SST dan membuat aduan sekiranya menghadapi masalah berkaitan kenaikan harga barangan.

KPDN sudah menjalankan 1000 pemeriksaan di seluruh negara dan 26 notis kesalahan dikeluarkan selepas Ops Kesan dilancarkan pada 1 Mac lalu.

Pengarah KPDN negeri Kelantan, Azman Ismail memaklumkan, pihaknya akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap peniaga, termasuk di bazar Ramadan jika terbukti mereka terlibat pencatutan.

Peniaga di bazar Ramadan tidak terlibat secara langsung dengan kenaikan SST, jadi pemantauan akan dilakukan agar pihak tersebut tak mengambil kesempatan.

Di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011, katanya, peniaga tidak boleh mengambil keuntungan melebihi 50 peratus daripada kos.

“Sekiranya ada peniaga terlibat dengan menaikkan harga jualan sewenang-wenangnya, kami akan mengambil tindakan selaras akta diperuntukkan.”

Baca juga: Aman Palestin lancar tabung baru, rayu sumbangan awam tampung kos ikat jamin