Malaysia Dateline

Peniaga berang keputusan saat akhir batalkan Bazar Ramadan di Kelantan

Para pengusaha restoran, kedai makan dan peniaga di Kelantan berang dengan tindakan Kerajaan Pas Kelantan umum saat akhir membatalkan bazar Ramadan dan bazar Aidilfitri hari ini.

Menurut Azhar Zaki, seorang pengusaha restoran di Kota Bharu, tindakan Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Kelantan Dr Izani Husin yang mengumumkan pembatalan saat akhir itu amat menyusahkan para peniaga dan rakyat seluruhnya.

“Kita sudah buat pelbagai persiapan, barang dapur barang basah semua dah dibeli, kerana Ramadhan bakal tiba dua hari lagi, tiba-tiba hari ini Kerajaan Pas Kelantan umum batal bazar Ramadan bazar Aidilfitri, siapa tak marah?

“Sudahlah kita sudah tanggung banyak kerugian akibat perlaksanaan PKP sebelum ini, baru nak bernafas semula cari rezeki, tiba-tiba keluar pengumuman begini pula.

Mana kita tak marah, banyak modal kita dah keluar, dari beli barang dapur, beli khemah, bayar tapak niaga bazar, bayar elaun pekerja, bayar lesen niaga, pendek kata banyak dah modal keluar, boleh pula Kerajaan Pas Kelantan buat keputusan saat akhir, memang kita marah,” katanya.

Semalam Dr Izani Husin membuat pengumuman membatalkan penganjuran Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di saat-saat akhir.

Kawasan Madinah Ramadhan berhampiran Dataran Stadium Sultan Muhammad ke V juga ditukar fungsinya daripada penganjuran Solat Terawih yang menjadi tradisi Kelantan sejak era Almarhum Tok Guru Nik Aziz, menjadi Pusat Rawatan dan Kuarantin Covid 19 Berisiko Rendah (PKRC).

Pengumuman mengejut yang dibuat dua hari sebelum ketibaan bulan Ramadan itu juga mengundang pelbagai kecaman dan luahan kemarahan dari warga netizen, rata-ratanya adalah golongan peniaga di Kelantan.

Sehingga kini Kerajaan Pas Kelantan masih tidak mengumumkan sebarang pakej bantuan bagi meringankan beban para peniaga yang bakal mengalami kerugian amat besar hasil dari pengumuman mengejut yang dibuat itu, ketika semua peniaga sudah buat pelbagai persiapan untuk mencari rezeki sempena ketibaan bulan Ramadan kali ini.