Peniaga boleh didenda hingga RM50,000! Jangan lupa papar 4 perkara ini dalam resit

Oleh WAN SITI AMINAH

Pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Selangor tampil memberikan peringatan tegas kepada peniaga yang masih gagal mengeluarkan resit lengkap kepada pelanggan.

Menerusi satu hantaran video di platform TikTok, KPDN memaparkan contoh situasi yang mana peniaga hanya mengeluarkan resit bertulis tangan ketika pelanggan meminta bukti pembayaran.

Perbuatan itu merupakan satu bentuk kesalahan kerana peniaga telah mengeluarkan resit tidak lengkap kepada pelanggan tanpa maklumat penting termasuklah tarikh pembelian dan barangan atau makanan yang dibeli.

Jelas KPDN Selangor, mana-mana peniaga yang gagal berbuat sedemikian boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999 atau Akta 599 yang telah berkuatkuasa sejak 15 November 1999.

Dalam perkongsian yang meraih tontonan mencecah setengah juta itu, KPDN Selangor turut menyenaraikan empat perkara penting yang perlu ada di dalam resit jika peniaga tidak mahu dikenakan denda.

  1. Nama dan alamat premis.
  2. Tarikh pembelian.
  3. Jumlah amaun yang dibayar.
  4. Maklumat barangan yang dibeli.
@kpdnselangor

Resit pon kena DENDA???? Peringatan untuk peniaga diluar sana untuk memastikan setiap pembelian mestilah mempunyai resit yang mempunyai kriteria yang ditetapkan. Dah tahu? jom kongsi #KPDN #KPDNKITA #kpdnselangor #kpdnselangorefektif #hakpengguna #penggunabijak

♬ original sound – KPDN SELANGOR – KPDN SELANGOR

“Resit pun kena DENDA? Peringatan buat peniaga di luar sana untuk memastikan setiap pembelian itu mestilah mempunyai resit yang mempunyai kriteria telah ditetapkan.

“Kamu semua tahu tak, denda sehingga RM50,000 boleh dikenakan atas kesalahan ini (peniaga yang bertindak mengeluarkan resit tidak lengkap kepada pelanggan)?.

“Di dalam Akta Perlindungan Pengguna 1999. Sekiranya peniaga gagal mengeluarkan resit yang lengkap, mereka boleh didenda sehingga RM50,000,” jelas KPDN yang turut memaklumkan bahawa pelanggan mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat lengkap dari peniaga.

Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna TikTok mengakui bahawa perbuatan seperti itu masih dilakukan oleh ramai peniaga terutama di premis kecil di kampung.

Segelintir besar pengguna turut berkongsi ketidakpuasan hati mereka apabila peniaga berkenaan turut meletakkan harga sesuka hati mereka berikutan nilai barang tersebut boleh berubah bila-bila masa sahaja.

Pihak penguat kuasa terutamanya KPDN turut disarankan untuk melakukan operasi dengan lebih kerap supaya hak pengguna terjamin dan peniaga juga tidak bertindak sesuka hati demi memperoleh keuntungan.

Baca juga: Terlupa nak basuh bekas makanan sampai ada bau? Jangan panik! Ikuti tip ni, tak perlu susah beli baru