Seorang peniaga cendol di Taman Melati mengakui terkejut apabila warung cendolnya diserbu ribuan pelanggan tidak sampai 24 jam pempengaruh terkenal, Khairul Aming datang ke gerainya.
Memetik Harian Metro, Ahmad Nizam berkata sudah 10 tahun dia berniaga namun tidak pernah menerima kunjungan pelanggan luar biasa.
“Menggigil lutut saya tengok pelanggan beratur panjang di depan warung saya kerana tak pernah lihat keadaan itu sebelum ini.
“Pagi Jumaat lalu, Khairul Aming datang ke warung saya dan sebenarnya sudah banyak kali dia datang, kebiasaannya bersama rakannya.
“Kiranya, dia adalah pelanggan tetap saya dan gemar pesan mi bandung serta bihun sup selain cendol pulut yang dijual pada harga RM1.
“Cuma pada hari berkenaan, dia minta izin buat ulasan dan mulanya saya tak nak kerana pengikutnya ramai tapi dia minta saya cuba sekali. Jadi, saya ambil peluang itu untuk buktikan pada dia yang peniaga kecil macam saya pun boleh,” katanya.
Menurut Nizam lagi, berikutan ramai pelanggan yang datang dia terpaksa menambah empat lagi pekerja.
Dalam pada itu, bapa kepada tujuh cahaya mata itu berkata hasil keuntungannya juga meningkat daripada RM800 kepada kira-kira RM8,000 hingga RM10,000 sehari.
“Jika dulu saya pesan 50 paket pes mi bandung saja dari Muar tapi kini bertambah kepada 400 hingga 500 paket bagi menampung permintaan pelanggan,” katanya.
Tambah Nizam lagi, dia turut bersyukur dengan rezeki diperoleh dan berterima kasih kepada Khairul Aming kerana membantu mempromosikan perniagaannya tanpa meminta bayaran.
Baca juga: “Suami obsess dengan mainan mahal, siap letak dalam almari kaca lagi, rupanya masa kecil…”