Peniaga dapat kelonggaran khas hantar barang ke Selatan Filipina

Peniaga dapat kelonggaran khas hantar barang ke Selatan Filipina

Peniaga di daerah ini dan Tawau yang barang mereka terkandas di pelabuhan selepas tidak dapat dihantar ke Mindanao di Selatan Filipina sejak Mei lepas, diberi kelonggaran khas daripada kerajaan untuk menghantar barangan mereka.

Pengerusi Persatuan Perdagangan Rentas Sempadan Sabah, Nordin Ening berkata kerajaan negeri dan persekutuan sudah memberi kelonggaran khas tersebut bagi memastikan peniaga terlibat tidak mengalami kerugian.

“Usaha ini juga hasil perhatian dan tindakan susulan diambil Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selepas persatuan itu menyampaikan masalah tersebut untuk memastikan peniaga terlibat mendapat kelonggaran khas.

“Kelonggaran khas diberi untuk mengeluarkan barangan berupa beras, gula dan rokok yang berada di Pelabuhan Tawau dan Sandakan yang dianggarkan bernilai RM157 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan mesyuarat keselamatan bersama agensi keselamatan serta agensi kerajaan di sini, hari ini.

Sebelum ini, barangan tersebut terkandas di dua pelabuhan selepas tidak dapat dihantar ke Mindanao berikutan kegagalan kapal pengangkut barang dari negara itu mematuhi syarat ditetapkan pihak berkuasa maritim Filipina.

Beliau berkata tempoh masa dibenarkan pihak kerajaan kepada peniaga terlibat di daerah ini adalah selama 60 hari manakala di Tawau 30 hari.

Nordin berkata peniaga terlibat perlu menyediakan lima jenis dokumen diarahkan Jabatan Laut Sabah untuk diserahkan kepada pihak berkuasa setibanya kapal pengangkut barang dari Filipina di perairan Pelabuhan Tawau dan Sandakan.

Loading...

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada Sabah Port Sdn Bhd kerana menyediakan dermaga tambahan selain dermaga Tiga dan Empat untuk mempercepatkan lagi proses pengeluaran saki baki kargo yang berada di Pelabuhan Sandakan.

“Di Pelabuhan Tawau pula, Lembaga Pelabuhan-Pelabuhan Sabah telah memperuntukkan dermaga Enam untuk mengeluarkan saki baki kargo barang di kawasan berkenaan,” katanya.

Menurutnya tiga jenis barang yang terkandas adalah beras, gula dan rokok di Pelabuhan Sandakan berjumlah 12,000 tan dan di Tawau (4,000 tan) tidak dapat dihantar ke Mindanao, sejak Mei lepas.

Beliau berkata kapal yang akan datang dari Selatan Filipina perlu mengikut satu laluan khas dan tidak boleh menyimpang melainkan laluan ditetapkan pihak berkuasa Malaysia.

— BERNAMA