Peniaga di Jitra bual hal, berani jual sate 40 sen secucuk! – “Saya niat nak tolong orang”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang peniaga yang membuka gerai sate di Jalan Kampung Padang, Jitra Kedah telah berjaya menarik perhatian ramai baru-baru ini.

Mana tidaknya, peniaga yang dikenali sebagai Fikri Ismail itu menawarkan sate dengan harga tidak masuk akal sejak membuka gerainya pada enam bulan lalu.

Kedengaran mustahil, peniaga yang hanya menjual secara ‘take-away’ atau bawa pulang itu menawarkan sate ayam siap dibakar dengan harga 40 sen secucuk.

Para pelanggan yang mengunjungi gerai Fikri itu juga boleh mendapatkan sate daging siap dibakar dengan harga murah iaitu 70 sen secucuk atau RM7 untuk 10 cucuk

Selain menjual hidangan sate ayam dan daging, Fikri Ismail juga bercadang untuk memperkenalkan menu baharu di gerai pada masa akan datang iaitu sate kambing.

Tidak hanya mengejar keuntungan, Fikri turut mengamalkan konsep meniaga sambil beramal bertujuan untuk membantu golongan berpendapatan rendah, lapor mStar.

Perkara yang dilakukan Fikri ini sekaligus memberi peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk menikmati hidangan kegemaran rakyat Malaysia itu.

“Harga sate standard sekarang sudah mencecah RM1 atau lebih secucuk. Jadi saya cuba tampilkan kelainan. Saya buat saiz kecil dengan harga yang mampu milik. 

“Tetapi sate di gerai saya tidaklah terlalu kecil. Kalau pelanggan nak makan hidangan bersaiz besar, kena beli di tempat lain yang harganya lebih mahal sedikit.

“Ikut pilihan masing-masing. Lagipun gerai saya hanya untuk dibungkus bawa balik sahaja. Saya tak sediakan tempat untuk makan,” katanya memetik laporan mStar.

Fikri yang dibantu tiga pekerja itu merasa sangat bersyukur apabila gerainya sentiasa mendapat sambutan sehingga berjaya menjual sekitar 700 ke 800 cucuk sehari.

“Alhamdulillah, setakat ini pelanggan yang sudah pernah beli mesti akan datang semula. Saya berniat nak tolong orang, biar orang ramai dapat makan sate. 

“Saya pun faham keadaan ekonomi sekarang, ditambah lagi kalau keluarga yang ada anak ramai.” Ujar pemuda yang prihatian dengan keadaan sekeliling itu.

Difahamkan, Fikri Ismail pernah berniaga sate di lokasi lain selama lima tahun sebelum memutuskan untuk membuka gerai kecil di Jalan Kampung Padang, Jitra ini.

Baca juga: Peniaga Terengganu kibar bendera Israel rupanya ada 4 rekod jenayah, dikehendaki polis