Malaysia Dateline

Peniaga dibenarkan guna caj 20sen ke atas beg plastik 15 Mac

Semua peniaga dan peruncit dibenarkan untuk mengenakan caj 20 sen ke atas beg plastik biodegradasi yang dibekalkan kepada pembeli mulai 15 Mac ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad menjelaskan caj yang dikenakan kepada pengguna adalah untuk menampung sebahagian kos pengeluaran beg plastik biodegradasi tersebut yang selama ini ditanggung oleh peniaga.

“Oleh itu, bagi mengelakkan dari menanggung kos 20 sen ini, orang ramai boleh membawa beg sendiri apabila membeli belah,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Pada 10 Mac yang lepas, Khalid dalam kenyataannya berkata caj 20 sen yang dikenakan untuk penggunaan beg plastik biodegradasi di Wilayah Persekutuan merupakan caj pencemaran.

Katanya langkah itu bagi memberi kesedaran kepada rakyat mengenai perbelanjaan kerajaan membersihkan pencemaran sisa plastik selaras Pelan Hala Tuju Malaysia ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030.

“Maklum balas daripada peniaga dan penjaja mendapati usaha mengurangkan penggunaan beg plastik tidak akan berjaya selagi ia masih disediakan kepada pengguna secara percuma.

“Bagaimanapun, sejak penggunaan produk biodegradasi (mampu terurai secara semula jadi) di Wilayah Persekutuan diperkenalkan, peniaga dan penjaja memberi kerjasama yang baik dalam menjayakan inisiatif hijau ini,”katanya.