Malaysia Dateline

Peniaga dikompaun: Tak nampakkah rakyat sedang susah?, soal Salahuddin

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub, mengingatkan kerajaan untuk memahami situasi rakyat ketika ini yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Ini susulan kompaun RM50,000 yang dikenakan terhadap seorang peniaga kedai runcit selepas peniaga burger dan gerai menjual colek di tepi jalan dikenakan jumlah kompaun yang sama.

Salahuddin turut mempersoalkan adakah kerajaan ketika ini tidak nampak keadaan rakyat yang sedang susah.

“Dah abang burger, abang colek, sekarang abang kedai runcit pulak. Sampai nak bagi kedai.

“Kita kena faham situasi rakyat sekarang ini, ramai yang terkesan. Dah jadi macam ini, tak nampakkah rakyat tengah susah? Kerajaan negeri pula kata tidak boleh campur tangan. Kasihan rakyat.

“Berapa sangat pendapatan mereka ini? Sudahlah merayu bantuan pun susah, kini dikompaun pula,” katanya dalam satu hantaran Facebook.

Terdahulu, peniaga kedai runcit Mansah Marjurin, 47, dikenakan kompaun Ahad lalu kerana kesalahan beroperasi lebih masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dia kemudian meminta pihak berkuasa untuk mengambil kedainya sebagai ganti kerana tidak mampu membayar kompaun sebanyak itu.

Pada semalam, kerajaan negeri Kelantan memberitahu pihaknya tidak boleh mencampuri urusan dalam penguatkuasaan yang dijalankan pihak berkuasa termasuk kompaun yang dikeluarkan ke atas individu individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin berkata segala peraturan dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).