Malaysia Dateline

Peniaga diminta jangan ambil kesempatan

Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Kelantan, Dr Hafidzah Mustakim mendakwa masih terdapat segelintir peniaga yang masih mengambil kesempatan menjual harga barangan pada kadar yang tidak sepatutnya.

Ketuanya, Dr Hafidzah Mustakim berkata, hasil tinjauannya bersama ahli jawatankuasa lain mengakui terkejut bagaimana beras yang menjadi makanan asas rakyat Malaysia dijual dengan harga yang tinggi di sebuah pasar awam di Ketereh.

Beliau berkata, kawalan harga makanan asas perlu dilaksanakan segera agar tiada kenaikan keterlaluan tanpa pantauan pihak berkuasa.

“Walaupun bekalan berkurangan akibat permintaan tinggi namun peniaga perlu tahu, mereka masih ada tanggungjawab sosial.

“Tak masuk akal bagaimana 5 KG beras yang biasanya boleh didapati dalam harga RM13 hingga RM14, dijual dengan berlipat ganda malah ada tempat yang menjualnya sehingga RM13 hingga RM25,” luahnya kepada Malaysia Dateline.

Dr Hafidzah berkata lagi, insentif yang diumumkan kerajaan amat dialu-alukan, namun ia tidak akan berguna untuk rakyat terbanyak sekiranya pelaksanaannya gagal dan penuh birokrasi.

Malah katanya, sebilangan rakyat terus kecewa dengan sikap pelaksana pemberian bantuan yang dikatakan masih bersikap pilih kasih dalam pemberian bantuan.

“Rakyat yang dicop sebagai penyokong pembangkang dianaktirikan.

“Sudah-sudahlah berpolitik di saat genting dan susah ini.

“Ada sebilangan rakyat yang nak makan pun susah. Usah disempitkan kehidupan mereka dengan ketidakadilan ini,” katanya.