Sebuah gerai makanan di medan selera di Melaka diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) selepas didakwa mengenakan caj 10 sen kepada pelanggan yang membayar pesanan melalui kod QR.
Video peniaga itu sebelumnya tular apabila dikatakan meminta caj tambahan 10 sen bagi setiap pembayaran cecah RM10.
Ia kononnya kerana bank meminta buat begitu.
Bagaimanapun taktik tersebut terbongkar selepas KPDN mendapati pihak bank tidak pernah mengenakan caj tambahan untuk pembayaran melalui kod QR.
Lapor MalaysiaGazette, serbuan pukul 10.40 pagi semalam diketuai Pengarahnya Norena Jaafar. Peniaga wanita berkenaan turut mengaku mengenakan caj 10 sen bagi setiap RM10 pembayaran secara atas talian kod QR.
“Peniaga berkenaan memberi alasan caj satu peratus itu dikenakan pihak bank terhadapnya sebelum dia ‘memindahkan’ kos itu kepada pelanggan tanpa sebarang notis pemakluman awal.
“Bagaimanapun hasil semakan kami, pihak bank mengesahkan tiada sebarang caj tambahan dikenakan terhadap peniaga terbabit seperti didakwa,” katanya seperti dilapor.
Susulan itu peniaga berkenaan dikenakan kompaun RM200 kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Terdahulu, portal terbabit melaporkan seorang peniaga di Medan Selera Jalan Tun Ali, Kampung Morten di sini mengenakan caj tambahan 10 sen bagi setiap RM10 harga makanan jika dibayar secara imbasan kod QR.
Ketika tinjauan, wartawan dikenakan caj tambahan 10 sen untuk harga makanan RM3.70.
Seorang pelanggan lain ketika ditemui berkata, dia terpaksa membayar RM14.20 untuk harga sarapan pagi walaupun harga makanan dinikmati adalah RM14.
Baca juga: “Mama, kenapa kawan selalu sangat ejek Kakak cakap Papa macam perempuan?”