Malaysia Dateline

Peniaga kecil mengeluh pelaksanaan PKP cacamarba

Segalanya jadi serba-salah. Diri mahu meronta untuk terus berniaga tetapi hanya mampu berputih mata. Arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasa tetapi pelaksanaannya cacamarba.

Menjelang tempoh PKP yang dijadual berakhir pada 4 Februari ini, peniaga kecil berharap agar kerajaan lebih teliti dalam merangka sebarang keputusan berkaitan periuk nasi rakyat.

Peniaga burger, Hareez Anwar, 32, berkata, terdapat masih banyak lompang yang mesti ditambah baik supaya sumber pendapatan golongan bekerja sendiri sepertinya tidak terjejas.

“Komunikasi antara jabatan berkaitan dengan PBT (pihak berkuasa tempatan) dan MKN (Majlis Keselamatan Negara) lintang-pukang. SOP (prosedur operasi standard) tidak digariskan dengan jelas.

“Kami keliru. Boleh buka (gerai) atau tidak? Bila tutup (gerai), orang lain pula boleh buka. Apa benda ni?

“Ada juga peniaga yang ambil berat, tutup perniagaan. Tapi akhirnya dia pun keliru sebab tengok bisnes lain boleh pula beroperasi seperti biasa termasuk kedai buku,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Hareez berpendapat garis panduan yang jelas untuk jangka panjang perlu bagi mengelak ketidaktentuan arahan sekali gus penguatkuasaan pihak berwajib.

“Jangan kejap arahan ini, kejap arahan itu. Lain jenis perniagaan, lain jabatan rujuk.

“Tolonglah, usah orang macam kami jadi mangsa akhir kepada arahan yang cacamarba,” katanya yang membuka gerai burger sendiri di Kuala Linggi, Melaka.