Peniaga kopi buat eksperimen, tunjuk beza ais hancur dengan tiub – “Patut air cepat habis!”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang usahawan kopi berjaya mencuri perhatian ramai baru-baru ini selepas membuat pendedahan mengenai perbezaan ais tiub dan ais hancur yang kebelakangan ini semakin meraih populariti di kalangan peniaga.

Menerusi satu hantaran di platform TikTok, usahawan itu menjalankan satu ‘eksperimen’ dengan menyediakan dua cawan plastik sama saiz sebelum diisikan dengan dua jenis ais yang berbeza.

Usahawan yang lebih mesra disapa sebagai Abang Kopi itu kemudian memasukkan air bancuhan kopi sebanyak 250 mililiter (ml) ke dalam kedua-dua cawan plastik berisi ais hancur dan ais tiub.

Dalam rakaman berdurasi tiga minit 10 saat yang dikongsi di platform TikTok itu, dapat dilihat bahawa hanya cawan berisi ais tiub atau ‘ais baby’ boleh menampung kesemua air kopi berkenaan.

Manakala untuk cawan berisi ais hancur pula, terdapat lebihan sebanyak 100ml yang tidak dapat dituang ekoran isi padu sudah penuh dan bermakna hanya 150ml air kopi berada dalamnya.

‘Eksperimen’ yang dilakukan pengusaha kopi berkenaan telah membuktikan bahawa isi padu air yang dituangkan ke dalam cawan berisi ais hancur itu adalah lebih sedikit berbanding ais tiub.

“Air yang berada dalam cawan berisi ais hancur ini adalah sebanyak 150ml sahaja. Manakala air yang berada dalam cawan ais tiub pula adalah 250ml. Nampak macam sama tetapi penggunaan ais yang menentukan isi padunya.

“Lebihan 100ml ini banyak ya, cuba bayangkan. Itu yang orang kata sekali cucuk (straw), boleh sedut habis. Jadi kepada anda semua, malaslah nak cakap panjang. Kamu tentukanlah sendiri nak sokong peniaga macam mana.

“Kepada peniaga pula, kalau boleh pakailah ais baby (tiub). Jangan pakai ais hancur. Tahu, memang nak untung. Tetapi kita nak meniaga ini biar rasa seronok dan keberkatan dalam menjalankan perniagaan.” Katanya.

Baca juga: Patutlah KL dan Selangor panas lain macam kebelakangan ini, ini puncanya