Peniaga di Jitra Kedah mengeluh apabila harga bidaan tapak Karnival Aidilfitri 2023 di negeri itu dibida dengan harga lebih RM25,000 bagi satu tapak.
Menerusi video yang dikongsi pengguna Twitter @localrkyt, salah seorang peniaga menunjukkan bagaimana proses bidaan berlaku untuk mendapatkan tapak, sekaligus menjawab persoalan orang ramai bahawa para peniaga tidak membayar yuran sebaliknya membida tapak perniagaan mereka
Ramai peniaga terkejut dan mengeluh apabila melihat harga tapak yang dibida melebihi RM25,000 dengan yang paling tinggi berharga RM27,500 satu tapak.
“Yang meniaga baju Melayu, memang kena jual RM200 sepasang baru balik modai.
“Yang jual RM70 sepasang macam saya, memang tak dapatlah,” keluh seorang peniaga.
“Tapak saja pun dah cecah RM30,000, mana boleh jual murah-murah. Khemah lagi, elektrik, pekerja lagi. Saya jual secara ‘live’ sajalah,” tambahnya.
Meninjau ke ruangan komen, ramai berpendapat harga bidaan itu terlalu tinggi bagi lokasi di Jitra Kedah.
Malah mereka juga mula memahami mengapa segelintir peniaga terpaksa meletakkan harga yang agak mahal untuk jualan mereka bagi menampung semula kos tapak dan kos-kos lain.
“Jadi fahamlah kita bila peniaga terpaksa telan kos tapak dan ‘overhead’ yang mahal dengan jual barang mahal berlipat ganda. Tapi mangsanya adalah rakyat,” komen pengguna Twitter.
“Baru tahu kalau nak berniaga dekat Bazar / Karnival Aidilfitri kena masuk bidaan dan tertinggi baru berjaya dapatkan tapak. Selama ini mati-mati ingatkan harga dah ditetapkan untuk yang nak berniaga dekat Bazar. Tak rasa macam ditindas ke oleh pihak kerajaan negeri sendiri?,” soal yang lain.
Bagaimanapun ada yang memberitahu bahawa Tapak Yawata di Jitra itu sememangnya mempunyai ‘track record’ yang baik di mana para peniaga kebanyakannya akan memperoleh pulangan modal.
“Tapak Yawata ini memang standard lagu ni dah. Memang penuh orang. Kalau tak balik modal tak adanya orang nak bida lebih RM20,000. Kawan aku ada meniaga di sini, memang balik modal dia cakap. Apa-apa pun rezeki Allah,” balas netizen lain.
Baca juga: Hakim Nadia wanita Islam pertama pakai hijab ketika bertugas di mahkamah AS