Malaysia Dateline

Peniaga OKU Sarawak kecewa tidak terima BPR

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau dikenali Pelan Pemulihan Negara (PPN) telah memberi kesan mendalam kepada banyak pihak terutamanya golongan orang kelainan upaya (OKU) di Sarawak.

Presiden Persatuan Anak Istimewa Sarawak (PERAIS), Rapelson Richard Hamit berkata, setakat ini ramai peniaga OKU yang menerima Geran Khas Prihatin (GKP) terbatal kelayakan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) mereka.

Katanya, golongan terbabit rata-rata melibatkan peniaga OKU penglihatan yang membuka pusat urut, golongan pemuzik jalanan atau buskers serta penjual tisu.

“Malah saya turut dimaklumkan bahawa terdapat beberapa pusat urut yang diusahakan peniaga OKU bakal gulung tikar di Sibu dan Miri akibat pandemik Covid-19 ini,” katanya dalam satu kenyataan media di Kuching.

Sehubungan itu, beliau meminta agar kerajaan mempertimbangkan cadangan yang diusulkan oleh PERAIS demi menjaga kebajikan golongan OKU di negeri ini.

Tegasnya, antara cadangan penambahbaikan yang disarankan ialah menambah bantuan bulanan golongan OKU termasuk penerima bantuan am dan juga Elaun Pekerja Cacat (EPC) selain had maksimum penerima EPC dinaikkan sehingga RM3,000 selaras dengan kadar kemiskinan.

Malah, tambah beliau lagi PERAIS turut menyarankan agar bantuan sekali beri sebanyak RM500 diberikan kepada semua OKU penerima bantuan bulanan.

“Jika dilihat, Belanjawan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), ia tidak menyeluruh dan ekslusif untuk semua golongan OKU.

“Justeru PERAIS mencadangkan agar belanjawan PEMULIH menerusi Program Jaringan Inisiatif Umum (JITU) bagi peniaga OKU diperuntukan dan diperincikan untuk OKU sahaja.