Malaysia Dateline

Peniaga patuh pada arahan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan

 

Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) yang ditetapkan oleh pihak kerajaan dalam usaha untuk melindungi pengguna daripada tertipu, menunjukkan perkembangan yang positif.

Tinjauan Malaysia Dateline di Pasar Borong Selayang dan Pasar Chow Kit hari ini mendapati, rata-rata peniaga mematuhi skim harga barang Aidilfitri yang dilaksanakan oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Shah

Peniaga ayam di Pasar Borong Selayang, Shah, 36, berkata dia sememangnya menjual ayam mengikut harga kawalan barangan Aidifitri seperti yang dikeluarkan pihak KPDNHEP.

“Kami jual ayam memang mengikut harga kawalan seperti yang ditetapkan pihak kerajaan. Macam mana kerajaan suruh, macam itulah kami buat. Tak ada niat nak kaut untung lebih-lebih.

“Kalau tak ikut arahan, nanti kami pula yang dikenakan tindakan undang-undang. Jadi, untuk mengelakkan kami didenda, baik ikut sahaja arahan yang sudah ditetapkan.

“Minggu depan nak raya, stok ayam yang saya ada memang cukup untuk tampung pembeli yang biasa beli dengan saya. Saya berniaga di sini dah hampir 10 tahun. Memang boleh jangka aliran perniagaan di sini,” jelasnya.

Jamilah Hashim

Peniaga santan berhampiran Pasar Borong Selayang, Jamilah Hashim, 40, dengan nada yang mengeluh ketika ditemui pula memberitahu, sambutan pembeli pada kali ini berkurangan berbanding tahun lalu.

Katanya, kekurangan pembeli mungkin disebabkan harga barangan meningkat, sekali gus membuatkan masyarakat bersederhana dan berhati-hati dalam berbelanja.

“Untuk stok bekalan santan pula, memang cukup. Stok memang ada lebih-lebih lagi nak raya ni, kan, cuma itulah, pembeli kurang rancak pula kali ini,” keluhnya.

Sementara itu, pembeli dari Sentul, Helmy Nazrin, 33, memuji langkah yang diambil kerajaan bagi memastikan harga barangan kawalan dipatuhi oleh para peniaga.

“Hari ini saya beli ayam dan telur sebagai persiapan raya minggu depan. Saya lihat harga yang diletakkan peniaga di sini, sememangnya mengikut skim harga maksimum musim perayaan. Baguslah.

“Saya nak beli barang pun senang hati sebab harga sudah dikawal oleh pihak kerajaan, dan peniaga tak boleh sesuka hati meletak harga demi mengaut keuntungan terutamanya menjelang Aidilfitri,” katanya ketika ditemui di Pasar Chow Kit.

Harga telur mengikut skim harga maksimum musim perayaan.