Peniaga patuh pelaksanaan SHMMP

Peniaga patuh pelaksanaan SHMMP

 

Hasil Pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) untuk tiga perayaan utama tahun ini menunjukkan kadar kepatuhan yang tinggi oleh para peniaga.

Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Perdagangan Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang memaklumkan tahap kepatuhan peniaga terhadap skim SHMMP yang direkodkan cemerlang.

Malah katanya, selain kadar kepatuhan yang tinggi terhadap SHMMP, banyak premis perniagaan juga menjual barangan keperluan pada harga lebih murah daripada harga maksimum yang ditetapkan.

“Berdasarkan data yang dikutip oleh pegawai-pegawai pemantau harga KPDNHEP di premis perniagaan seluruh negara, harga purata kebanyakan barangan keperluan telah menurun pada tempoh SHMMP tahun ini berbanding tempoh SHMMP tahun 2018.

“Saya harus tegaskan bahawa kejayaan mengawal harga barangan keperluan pada musim perayaan tahun ini adalah hasil kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) yang telah memainkan peranan cukup penting dengan memastikan bekalan barangan mencukupi untuk musim perayaan tahun ini.

“Bekalan yang mencukupi serta pemantauan berterusan oleh pegawai penguatkuasa KPDNHEP telah memastikan harga kekal berpatutan serta tiada berlakunya kekurangan bekalan di pasaran,” katanya ketika sidang media bersama kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, hari ini.

Jelasnya, walaupun SHMMP sudah tamat, pegawai-pegawai penguatkuasa kementerian akan meneruskan pemantauan di premis-premis perniagaan untuk menangani sebarang kenaikan harga mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Dalam pada itu, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) turut memaklumkan bahawa bekalan bahan makanan utama seperti daging, ayam, telur, ikan, kelapa, sayur-sayuran dan buah-buahan mencukupi untuk memenuhi keperluan pengguna sepanjang musim perayaan kali ini.

Datuk Salahuddin Ayub berkata, sepanjang 30 hari pelaksanaan SHMMP yang telah dilaksanakan m, tiada laporan diterima mengenai isu kekurangan bekalan bahan makanan atau isu peningkatan harga mendadak bagi makanan di pasaran negara.

“Jualan Jimat Belanja Aidilfitri anjuran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di beberapa pasar tani terpilih seluruh negara juga telah membantu rakyat untuk mendapatkan bekalan makanan pada harga yang berpatutan. Program jualan khas ini telah berlangsung selama lima hari sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri dan telah melibatkan 398 buah daripada 757 buah pasar tani seluruh negara.

“Selain itu, kawalan ketat di pintu sempadan negara yang telah mengelakkan penyeludupan bekalan makanan juga antara faktor yang memastikan kurangnya gangguan kepada bekalan bahan makanan negara.

“Pada awal bulan ini, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) di bawah MOA telah berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk keratan ayam sejuk beku dari loji penyembelihan di Thailand yang tidak diiktiraf oleh pihak berkuasa,” katanya.

Tambahnya, MAQIS Johor juga telah berjaya menumpaskan satu cubaan membawa masuk dan mengimport 19 kotak daging lembu sejuk beku yang dipercayai dari Amerika Syarikat tanpa sebarang dokumen yang sah pada bulan lepas.