Malaysia Dateline

Peniaga perlu tahu, lesen boleh dibatalkan jika didapati cuba sorok barang kawalan

Peniaga diberi amaran oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) agar tidak terbabit dalam aktiviti menyorokkan barangan kawalan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan penggantungan dan pembatalan lesen boleh diambil kepada pemegang-pemegang lesen sekiranya didapati terlibat dalam aktiviti yang menyalahi undang-undang ini.

Dilaporkan, pemeriksaan harian telah dijalankan ke atas 2,711 premis peruncit, 1,039 pemborong dan 223 pengilang yang melibatkan barang kawalan dan keperluan asas termasuk gula, minyak masak, tepung gandum, beras, roti putih, telur, ayam, bawang, susu tepung dan sayur-sayuran.

Individu yang didapati terlibat boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

“Mereka juga boleh disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613),” katanya dalam satu sidang media hari ini.

KPDNHEP telah menggerakkan 2,200 anggota di seluruh negara untuk membanteras dan menggempur aktiviti menyorok barang kawalan seperti ayam, telur dan minyak masak botol bagi memastikan bekalan tersebut sentiasa mencukupi dengan harga berpatutan setiap masa.

Bagi mengelak penyelewengan, KPDNHEP telah melaksanakan Ops Anti-Sorok Barang kawalan dan sepanjang tahun 2022 sehingga 22 Jun sebanyak 158,064 pemeriksaan telah dibuat ke atas premis peruncit, pemborong dan pengilang terpilih di seluruh Negara,

Baca juga: ‘Kami tak perlu duit bantuan, kami mahu kerajaan kawal ekonomi’, netizen luah kemarahan

Baca juga: Wanita tekad kahwini patung buatan sendiri selepas lama membujang, kini sambut kelahiran anak