Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) bersetuju untuk mengeluarkan lesen sementara kepada peniaga petai yang tular kerana membuang barangan jualannya di jalan selepas didakwa tidak dibenarkan meniaga oleh pihak penguat kuasa.
Peniaga terbabit turut menerima wang ganti rugi untuk menanggung kerugian dialaminya hasil sumbangan dari Menteri Besar Negeri Sembilan yang juga merupakan Ahli Parlimen Port Dickson iaitu Datuk Seri Aminuddin Harun.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Tanjung, Dr G. Rajasekaran selaku wakil ketika mengadakan lawatan ke rumah peniaga petai yang dikenali sebagai Mohd. Noor Saad.
Rajasekaran menerusi satu hantaran di platform Facebook turut memaklumkan bahawa isu melibatkan penjaja petai itu dengan penguat kuasa MPPD juga dapat diselesaikan secara baik hasil pertemuan mesra antara kesemua pihak yang terlibat.
“Isu video tular di antara penjual petai dan penguat kuasa MPPD diselesaikan secara baik. Hasil perbincangan, pihak MPPD bersetuju untuk mengeluarkan lesen sementara kepada Pak Cik Noor bagi membolehkannya menjalankan perniagaan secara sah.
“Selain itu, Pegawai Penguat kuasa iaitu MPPD iaitu En Kamarul juga hadir ke rumah Pak Cik Noor dan bersalaman sebagai tanda penyelesaian isu ini. Kami berharap langkah ini dapat meredakan ketegangan dan memberikan penyelesaian yang adil kepada semua pihak.
“Pihak MPPD juga akan terus memantau situasi bagi memastikan tiada lagi isu seumpama ini berlaku pada masa hadapan. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menyelesaikan isu ini secara diplomasi dan mesra,” katanya dalam hantaran itu.
Pertemuan tersebut turut dihadiri oleh Yang di-Pertua MPPD, Hasnor Abdul Hamid; Setiausaha MPPD, Mohd. Azizul Hakim; Unit Penguat Kuasa, Unit Perlesenan serta Ahli Majis Perbandaran, A. Segaran.
Dalam perkongsian yang sama, Rajasekaran juga berkata bahawa pihaknya berharap supaya kejadian ini dijadikan sebagai pengajaran dan panduan untuk menangani isu-isu komuniti dengan lebih baik pada masa akan datang.
Terdahulu, tular satu rakaman memaparkan seorang lelaki bertindak membuang kesemua petai jualannya di atas jalan raya sebagai tanda protes terhadap penguat kuasa yang menghalangnya berniaga menggunakan motosikal di tempat letak kenderaan.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku berdekatan sebuah pasar raya yang terletak di daerah Port Dickson membabitkan seorang peniaga petai dan dua anggota penguat kuasa daripada MPPD.
Baca juga: Tukang sapu sampah ditawar jadi model selepas kecantikannya ‘viral’