Peniaga rela hancurkan kafe sendiri, halang cubaan ‘sailang’ dari pelanggan setia

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pemilik perniagaan kafe langsung tidak menyangka pelanggan setianya tergamak membuat percubaan untuk merampas hasil usaha kerasnya selama ini.

Lebih memburukkan keadaan, perbuatan licik pelanggan berkenaan turut menerima sokongan penuh daripada pemilik tapak premis yang cuba menaikkan harga sewa.

Dipercayai berlaku di Ara Damansara, kejadian itu bermula selepas kafe diusahakan oleh peniaga tersebut mula mendapat sambutan hangat daripada penduduk sekitar.

Pemilik premis kemudian tiba-tiba membuat keputusan untuk menaikkan kadar sewa sebanyak tiga kali ganda selepas peniaga tersebut selesai mengubah suai kafenya.

Telah mengeluarkan banyak belanja, pengusaha kafe itu tidak mempunyai pilihan lain kecuali terpaksa bersetuju dengan permintaan keterlaluan pemilik premis tersebut.

Walau bagaimanapun, pemilik premis sekali lagi menukar fikiran dan tidak bersetuju untuk menyambung kontrak penyewaan bagi menjalankan muslihat tersembunyinya.

Mendedahkan realiti kejam dalam dunia perniagaan, kejadian itu diceritakan semula oleh rakan kepada pengusaha kafe di akaun Facebook milik Kukubesi Manipulasi.

“Satu hari dapat tahu pemilik sudah menjual premis tersebut. Pemilik baru itu salah seorang pelanggan yang selalu lepak di situ. Nak dijadikan cerita, pemilik baru datang awal ke kafe untuk menyoal pekerjanya.

“Dia tanya siapa pembekal nasi lemak, kek dan beberapa menu lain. Tetapi pekerja tak tahu siapa pembekal makanan. Hanya kawan aku (pengusaha kafe) sahaja yang tahu. Pemilik baru sanggup datang sebelum kedai bukak.

“Awal pagi tunggu pembekal hantar makanan (kawan aku tengok rakaman kamera litar tertutup). Gigih betul dia nak tahu. Pernah pemilik datang bawa kontraktor ukur itu ini. Tetapi mereka diarah keluar dan tidak membuat kerja waktu kafe beroperasi,” katanya.

Tidak ingin dirinya diambil kesempatan, pemilik kafe tersebut sanggup mengeluarkan belanja bagi memusnahkan semula pengubahsuaian sebelum memulangkan premis.

Rupa-rupanya, pemilik asal premis itu cuba mengaut keuntungan atas angin dengan menjual sebuah kafe yang telah siap diubah suai tanpa menganggung sebarang kos.

“Alangkah terkejutnya pemilik setelah mendapat kunci dari kawan aku. Kafe sudah bersih sampai licin dan kembali kepada bentuk asal kedai tersebut. Segala ubah suai kawan aku pecahkan dan serah sebijik macam mula masuk dahulu.

“Merah padam muka pemilik apabila tengok keadaan kafe yang dipulangkan bersih secuci embun. Padan muka. Dia pecah pun makan puluh ribu juga. Janji tak senang-senang bagi orang hasil usahanya.” Ulasnya lagi.

Difahamkan, pengusaha kafe telah menyewa tempat baharu buat sementara waktu kira-kira 300 meter dari lokasi asal manakala premis itu pula masih kosong selepas lima bulan kejadian berlaku.

Baca juga: Jijik! Pekerja kantoi lenyek kentang guna kaki, diamkan diri bila disoal