Peniaga sedih dituduh tak ikhlas, ‘disembur’ pelanggan kerana tak beri diskaun RM1

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang penjual nasi lemak merasa terkilan selepas dituduh berniaga secara tidak ikhlas hanya kerana enggan memberikan diskaun sebanyak RM1 kepada pelanggan.

Peniaga itu turut ‘disembur’ oleh pelanggan yang merupakan seorang wanita berusia kerana menurutnya nasi lemak tersebut dijual dengan harga terlalu mahal iaitu RM3.

Kejadian yang dipercayai berlaku di Sabah itu sempat dirakam lensa kamera kerana peniaga sedang melakukan siaran langsung di platfrom media sosial TikTok miliknya.

Menerusi rakaman itu, kejadian bermula apabila gerai milik peniaga didatangi oleh pelanggan berkenaan yang bertanyakan harga aneka jenis nasi lemak dijualnya.

“Mahal juga kau jualkan, sedikit sahaja (merujuk kepada saiz bungkusan nasi lemak),” kata pelanggan susulan peniaga menjelaskan nasi lemak ikan bilisnya berharga RM3.

Langsung tidak melatah, peniaga terbabit kemudian menjelaskan bahawa harga nasi lemak jualannya itu bergantung kepada kos bahan mentah yang berada di pasaran.

“Terlalu mahallah, terus terang. Sebab ikan bilis RM35 sahaja sekilogram. Saya juga pun jual (meniaga), biasa masak. Saya mahu tegur, berniaga memang cari untung.

“Tetapi berpada-padalah,” kata pelanggan bergelar mak cik yang membeli juga nasi lemak itu sebanyak tujuh bungkus dengan nilai keseluruhan berharga RM21.

Pelanggan itu kemudian meminta diskaun RM1 ketika menghulurkan wang bernilai RM50 sebelum mengatakan ‘tidak murah hati kau’ apabila permintaannya tidak dilayan. 

Walau bagaimanapun selepas peniaga memulangkan baki berjumlah RM30, mak cik berkenaan malah melabelnya tidak ikhlas kerana memberi diskaun secara ‘terpaksa’.

@hakaklawa_fyon

Replying to @ateng.atengloh Hanya Allah yang tau saya Ikhlas atau Tidak. Tapi sepangjang bantu mama berniaga dan niaga sendiri, tiada dalam kamus hidup saya “TIDAK IKHLAS”. apatah lagi “TIDAK MURAH HATI”. Orang yang kenal saya, kenal lah.. tapi saya bukan minta untuk dikenali, cuma minta difahami. Saya, generasi dr mama saya yang sudah meniaga nasi lemak selama 24 TAHUN, dari harga 1 ringgit hingga lah sekarang 3 ringgit. Proses membuat nasi lemak bukan senang mcm goreng nasi. kos bahan mentah yang makin naik. Berapa saja untung kami jika nak dibandingkan dengan penat lelah kami berjam². Kami sangat jaga KUALITI. Masak nasi pun bukan guna santan murah. semua masakan kami gunakan bahan yang mencukupkan rasa ia sebagai “NASI LEMAK”. Di kes ini, makcik ni juga seorang peniaga. Saya tidak tahu apa motif dia dtg sergah saya mcm ni. Semoga dia tidak ulang sikap dia terhadap peniaga lain.☺️ Ya Allah, Perluaskan lagi rezeki kami seluas lautanMu. Dan jauhkanlah kami dari sifat hasad dengki sesama manusia. Aamiin Ya Allah. #peniaganasilemak #randomvideo #tidakmurahhati

♬ original sound – ChiruX9_official – ChiruX9_official

Mencuri perhatian ramai, rakaman siaran langsung tersebut dimuat naik semula oleh peniaga di akaun TikTok miliknya untuk berkongsi rasa kesal berhubung insiden itu.

“Hanya Allah yang tahu saya Ikhlas atau tidak. Sepanjang bantu mama meniaga dan beniaga sendiri, tiada dalam kamus hidup saya ‘TIDAK IKHLAS’. Apatah lagi ‘TIDAK MURAH HATI’. Saya bukan minta untuk dikenali, cuma mahu difahami.

“Proses membuat nasi lemak bukan senang macam nasi goreng. Kos bahan mentah semakin meningkat. Berapa sahaja untung dibandingkan dengan penat lelah masak berjam-jam. Kami sangat jaga KUALITI.

“Mak cik itu juga seorang peniaga. Saya tidak tahu apa motif dia datang sergah macam ini. Adakah untuk menjatuhkan semangat saya? Semoga dia tidak ulang sikap ini kepada peniaga lain.” Tulis penjual di ruangan kapsyen.

Setakat artikel ini ditulis, perkongsian peniaga terbabit telah berjaya meraih tontonan mencecah 300,000 kali dan 13,200 tanda suka daripada pengguna platform TikTok.

Baca juga: Gara-gara tudung, suami maklum ‘follower’ Daphne Iking makin berkurang, siap dapat DM nak ‘unfollow’