Malaysia Dateline

Peniaga trak makanan di Jalan Raja ucap terima kasih kepada DBKL

Peniaga nasi ayam Mohd Saufi

Rata-rata peniaga trak makanan di sepanjang Jalan Raja kini mampu tersenyum, apabila dibenarkan berniaga oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di tapak bazar Jalan Raja.

Mereka dibenarkan beroperasi di tapak itu sejak semalam hingga Selasa depan, dan rata-rata peniaga mempunyai pandangan tersendiri dengan khabar gembira itu.

Peniaga nasi ayam, Mohd Saufi, 32, menzahirkan rasa gembira kerana dapat menambah sumber pendapatan menjelang Aidilfitri.

Peniaga air mangga Kamal

“Saya bersyukur sangat kerana pihak DBKL membenarkan kami berniaga di sini (Jalan Raja). Terima kasih DBKL.

“Alhamdulillah, dengan berniaga di sini, saya boleh mendapatkan duit tambahan untuk meraikan Aidilfitri Rabu ini bersama keluarga,” katanya dengan nada gembira.

Bagi peniaga mango float, Kamal, 32 pula berkata, tapak Jalan Raja adalah lokasi strategik kerana menjadi tumpuan orang ramai untuk membeli-belah.

Pengunjung Azura

“Bazar hari raya pula bersebelahan dengan kami. Jadi saya lihat pengunjung akan menuju ke sini (trak makanan) selepas selesai membeli barangan persiapan Aidilfitri.

“Alhamdulillah rezeki kami dapat berniaga di sini. Terima kasih kepada pihak DBKL terutamanya Datuk Bandar kerana memberi kebenaran untuk kami berniaga di sini,” katanya sambil tersenyum.

Di samping itu, kru Malaysia Dateline turut mendapatkan komen mengenai trak makanan itu, daripada orang ramai yang membeli-belah di bazar berhampiran.

Pengunjung dari Sungai Buloh, dikenali sebagai Azura, 45, berkata trak makanan di sepanjang Jalan Raja itu memudahkan orang ramai untuk mengisi perut.

Pengunjung Ramli Doraman

“Di Dataran Merdeka ini saya lihat tak ada kedai makan, jadi dengan adanya trak makanan ini, memang menyenangkan kami lah untuk membeli makanan, ditambahkan lagi tapak bazar hanya bersebelahan dengan trak ini,” katanya.

Berbeza pula pengunjung dari Damansara, Ramli Doraman, 52, yang lebih mengambil kira mengenai kualiti masakan.

“Saya tengok memang banyak trak di sini, tetapi yang menjadi tanda tanya saya adalah, sedap atau tidak makanan yang dijual?

“Harga yang dijual pun boleh tahan saya tengok, kalau betul makanan yang dijual itu sedap, memang berbaloi beli,” katanya.

Rabu lalu, sekumpulan peniaga trak makanan melakukan protes di Jalan Raja kerana mendakwa pihak DBKL menghalang mereka untuk berniaga di situ.

Pada sidang media kelmarin, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad menjelaskan peniaga berkenaan tidak pernah membuat permohonan untuk berniaga di tapak itu lebih awal, cuma memberitahu secara rasmi sejak seminggu lalu.

Namun, pihaknya memberi kelonggaran bersyarat kepada peniaga berkenaan dan deposit sebanyak RM3,000 dikenakan kepada setiap peniaga.

Deposit itu dikenakan bagi memastikan kawasan itu sentiasa bersih dan mengikut masa yang ditetapkan.